Jangan klasifikasi laporan audit 1MDB di bawah OSA

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak boleh menerima laporan akhir 1MDB yang dibuat oleh Jabatan Ketua Audit Negara diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Tindakan ini akan lebih merumitkan isu berkenaan, walhal rakyat berhak mengetahui hasil daripada laporan audit tersebut.

Tindakan Ketua Audit Negara tidak disusuli dengan alasan yang konkrit untuk mengklasifikasikannya di bawah OSA.

Selama ini, rakyat menunggu laporan penyiasatan yang dibuat oleh institusi yang berautoriti. Malangnya, hasil disiasatan dirahsiakan.

Jadi, bagaimana rakyat mahu mengetahui kedudukan isu ini yang sebenar?

Isu 1MDB adalah satu isu yang besar. Ia bukan hanya ditimbulkan di peringkat nasional, malah ia telah disensasikan di peringkat internasional.

1MDB adalah salah satu isu yang telah menghakis kredibiliti politik dan ekonomi. Contohnya, isu ini juga mungkin mempengaruhi kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (2015) juga amat mendukacitakan.

Oleh yang demikian, PAS mendesak agar laporan audit 1MDB tidak diklasifikasikan di bawah OSA agar ianya boleh dinilai oleh seluruh rakyat. Sekurang-kurangnya ia boleh menjawab pelbagai dakwaan yang telah ditimbulkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak memadai untuk menjelaskan kedudukan sebenar 1MDB.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
28 Jamadil Awwal 1437 / 8 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace