Sejarah: Nakhaie syor Barisan Islamiah

HARAKAHDAILY | .

NAKHAIE SYORKAN BARISAN ISLAMIAH SEBAGAI GABUNGAN PEMBANGKANG ISLAM + UMNO MAHATHIR (8 MAC 1988)

PADA hari ini dalam tahun 1988, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukakan satu cadangan kepada Majlis Syura Ulamak PAS supaya ditubuhkan Barisan Islamiah, iaitu sebuah badan gabungan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk Umno untuk menyatukan umat Islam.

Idea penubuhan Barisan Islamiah ini telah dilontarkan oleh Ustaz Nakhaie semenjak akhir November 1987 lagi, dan beliau yang juga Naib Yang Dipertua Agung PAS kemudiannya mengemukakan secara rasmi kepada Majlis Syura Ulamak PAS.

Gagasan ini ketika dilontarkan oleh Ustaz Nakhaie telah mendapat respon positif daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno dan Pak Yusof Rawa, Yang Dipertua Agung PAS.

PAS bersikap positif kerana perpaduan adalah tuntutan Islam, sedangkan Umno pada 24 November 1987 dilaporkan bersetuju jika ia bertujuan untuk Islam.

Usulan Ustaz Nakhaie ini telah dibincangkan secara dasar pada 8 Mac 1988, tetapi ia ditarik balik oleh pencadangnya dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 4 Julai 1988 kerana didakwa tidak mendapat perhatian serius pimpinan PAS.

Dalam Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat pada 21 Ogos 1988, Ustaz Nakhaie mencadangkan supaya sebuah panitia ditubuhkan untuk menganjurkan Perhimpunan Umat Melayu Kedua bagi membincangkan pendekatan baru politik umat Islam setelah Umno diharamkan pada 4 Februari 1988.

Cadangan-cadangan Ustaz Nakhaie yang dilihat oleh pimpinan PAS sebagai satu usaha menghidupkan semua Team A Umno yang dipimpin oleh Dr Mahathir dengan membuat pakatan parti-parti pembangkang dan NGO Islam + Umno Mahathir atas nama perpaduan umat, sedangkan ketika itu Umno sedang melakukan tangkapan ISA sejak Oktober 1987, di mana nama Ustaz Nakhaie dikatakan turut tersenarai.

Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dijangka mengendalikan kes Umno telah digantung tugas pada 26 Mei 1988 yang menyebabkan usaha memulihkan Umno terbengkalai.

Di sebalik kedinginan sikap pimpinan PAS terhadap cadangan Ustaz Nakhaie yang juga Ketua Penerangan PAS itu, PAS turut menerima usulan daripada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri pada 9 Oktober 1988 dalam kertasnya, 'Tinjauan Ringkas Politik Semasa dan Sikap Yang Perlu Diambil Oleh PAS' yang mencadangkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990.

PAS bersikap positif terhadap cadangan Setiausaha Agungnya, tetapi dilihat tidak berminat dengan usulan Naib Yang Dipertua Agungnya.

Kecewa dengan pendirian PAS yang tidak mahu memberi nafas baru bagi menghidupkan semula Umno (Baru), Ustaz Nakhaie telah meletakkan semua jawatan beliau dalam PAS pada 20 Ogos 1988 atas alasan berkecil hati dengan satu kenyataan Pak Yusof Rawa, yang kemudiannya diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 September 1988, manakala kedudukan beliau dalam Majlis Syura Ulamak PAS berakhir pada 30 Oktober 1988.

Pada 2 Januari 1989, Ustaz Nakhaie membuat kenyataan bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46 merugikan umat, dan pada 27 April 1989, Ustaz Nakhaie yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Biro Agama Umno dan pimpinan ABIM sebelum aktif dalam PAS telah mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno (Baru) pimpinan Dr Mahathir.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace