Presiden PAS tahnik bayi sebelum ke sidang Dun

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Kesibukan masa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang untuk hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, masih sempat melakukan tahnik terhadap seorang bayi berusia tujuh hari.

Peristiwa yang jarang berlaku itu sempat dirakam wakil Harakah di pejabat PAS Negeri Terengganu di Taman Seri Intan, di sini semalam.

Bayi bertuah itu, selain ditahnik turut diberi nama oleh Tuan Guru Abdul Hadi sebagai Khadijah sempena nama wanita pertama yang memeluk Islam yang juga isteri Nabi Muhammad SAW.

Harakah dimaklumkan, bayi itu merupakan cucu pertama kepada Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu,  Puan Azizah Mahmood.

Kata beliau, Khadijah merupakan cucu pertamanya yang diberi nama oleh Tuan Guru Abdul Hadi bagi mengambil barakah seorang ulama tersohor.

“Alhamdulillah, syukur saya apabila capai hajat untuk Tok Guru buat tahnik, doa selamat dan beri nama kepada cucu pertama saya.

“Bapa bayi ini pun setuju dengan nama Khadijah tetapi ditambah lagi menjadi KhadijahAisyah binti Abdul Fatah,” ujarnya.

Bapa bayi itu, Abdul Fatah berkata peristiwa anaknya ditahnik oleh Ustaz Abdul Hadi itu tidak dirancang awal.

“Saya ucap terima kasih kepada Tok Guru Ayah Chik, yang sudi mentahnik dan membacakan doa untuk anak saya, semoga beliau sentiasa diberkati Allah,” ujarnya.

Sebelum Adun PAS pergi ke persidangan Dun, mereka berkumpul di pejabat PAS negeri seawal jam 8.30 pagi dan bergerak ke Wisma Darul Iman. - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace