Jalin kerjasama tangani penyebaran ideologi militan

HARAKAHDAILY | .

PAS terutama melalui Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyatakan kesediaannya untuk berkerjasama dengan pihak PDRM bagi melatih para penceramah dalam menangani penyebaran ideologi kumpulan Islamic State (IS) yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia ketika ini.

Ideologi militan IS ketika ini tersebar dengan begitu meluas dan terdapat bibit-bibit yang menunjukkan mereka mula menyasarkan negara-negara di belahan Asia Tenggara.

Maka, langkah bersepadu daripada pelbagai pihak merupakan suatu usaha yang baik dan wajar disokong bagi mengekang penyebaran ideologi tersebut daripada menular ke negara kita.

Usaha dan kerjasama yang bersepadu daripada semua seperti Jakim dan kumpulan-kumpulan NGO Islam yang lain seperti Abim, Isma dan sebagainya merupakan sesuatu yang begitu signifikan bagi menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat seterusnya menjadi suatu benteng daripada racun ideologi yang bertentangan dengan pendekatan Islam ini merebak.

PAS menyatakan keyakinan bahawa dengan kerjasama yang baik di antara DUPP, PDRM dan NGO-NGO Islam ini akan menjadi satu langkah yang begitu penting bagi menghadapi pertembungan ideologi ini.

PAS juga mengulangi pendirian bahawasanya PAS kekal dengan pendekatan secara muwajah silmiyyah, iaitu pendekatan menyampaikan ajaran Islam melalui kaedah yang aman dengan penyertaan ke dalam pilihan raya dan institusi demokrasi di negara ini.

NASRUDIN HASSAN
Pengarah Jabatan Pilihan raya Dewan Ulamak PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace