Isu potongan gaji guru Yik selesai

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Isu tunggakan potongan gaji dan caruman guru-guru Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang dibangkitkan sebelum ini kini sudah diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata sebanyak RM13.4 juta tunggakan tersebut sudah dijelaskan Yik.

Katanya bayaran dibuat pada Oktober 2015 sebanyak RM2.15 juta, November (RM3.6 juta), Disember (RM826,000), Januari 2016 (RM3.8 juta) dan Febuari (RM3.47 juta).

“Bermula Mac ini tidak ada lagi tunggakan potongan gaji dan caruman guru-guru Yik seperti dibangkitkan pihak tertentu sebelum ini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum ini isu tunggakan potongan gaji dan caruman guru-guru Yik kepada koperasi tidak dibuat yang berjumlah RM14.6 juta.

Tunggakan tersebut berlaku sejak 2001 kerana beberapa faktor termasuk penyusunan kembali bayaran pelarasan gaji di bawah Skim Saraan Malaysia bermula pada tahun lepas.

Potongan gaji dan caruman itu sepatutnya dibayar kepada beberapa agensi termasuk Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).

Dr Mohamed Fadzli juga berkata Yik turut mendapat dana sebanyak RM11 juta daripada projek pajakan ladang yang diusaha sama dengan syarikat-syarikat swasta.

Menurutnya juga Yik merancang dan melaksanakan beberapa langkah bagi meningkatkan sumber kewangan termasuk menubuh Akademik Yik berperanan melaksana projek pelaburan. - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace