Usul tidak percaya MB, sidang Dun Terengganu panas

HARAKAHDAILY | .

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ditangguhkan pada jam 3.15 petang ini ekoran usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Usul itu dikemukakan oleh Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong menangguhkan persidangan jam 3.15 petang ini.

Ini ekoran kekecohan yang melibatkan beliau dengan wakil-wakil pembangkang berhubung usul yang dikemukakan oleh Ahmad itu supaya dijalankan undian.

Beliau yang menolak usul itu turut meminta Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid menjelaskan berhubung perkara itu.

Berikut adalah usul yang dibawa oleh Adun Kijal itu.

Saya ingin membawa satu usul atau cadangan dan apa yang berlaku demi kepentingan rakyat Terengganu, secara keseluruhannya bahawa cadangan-cadangan di bawah perkara 14(6) undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu, peraturan 33(11) dan perkara 33(6) peraturan-peraturan dan perintah-perintah tetap dewan undangan negeri bagi Negeri Terengganu Darul Iman.

Yang Berhormat Yang Dipertua perkara 14(6) ini melibatkan Perlembagaan negeri Terengganu adalah di antara pekerjaan Dewan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan negeri yang mana ia tidak termasuk di dalam tertib yang biasa pekerjaan dewan.

Peraturan 33(11) peraturan-peraturan perintah Dewan tetap Dewan Negeri Terengganu yang mana keadaan ini tidak memerlukan sebarang notis ini terdapat dalam Perlembagaan negeri.

Tuan Yang Dipertua, bagi maksud perkara 14(6) undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu, Dewan hendaklah bersidang sebagai jawatankuasa seluruhnya sebagai yang diperuntukkan di bawah peraturan 33 (6) peraturan perintah-perintah tetap Dewan Negeri Terengganu bagi membolehkan ahli-ahli membuat undian, notis juga tidak diperlukan bagi cadangan ini.

Perkara 14(6) undang-undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan jikalau Menteri Besar lagi tidak mendapat kepercayaan daripada kebanyakan ahli Dewan Undangan negeri, maka ketika itu, melainkan dengan permintaannya, Duli Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Undangan Negeri, hendaklah dia, menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sehubungan dengan perkara 14(6) undang-undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu cadangan saya berbunyi, Datuk Yang Dipertua bahawa Dewan Udangan Negeri yang bersidang pada hari ini mengundi tidak percaya kepada Menteri Besar, YAB Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Selain dari itu, saya juga membawa cadangan di bawah peraturan 33(6) peraturan-peraturan di bawah perintah-perintah tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu ke Dewan yang bersidang pada ketika ini, bersidang sebagai jawatankuasa seluruhnya bagi membuat undian.

Sukacita saya maklumkan kepada Dewan yang mulia pada hari ini bahawa undang-undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu merupakan Perlembagaan negeri ini yang tertinggi di mana di bawahnya peraturan-peraturan dan perintah-perintah tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu telah diperbuat.

Oleh itu kepatuhan kepada perundangan dan peraturan-peraturan ini adalah diperlukan serta tidak boleh dinafikan.

Sukacitanya saya membawa peringatan bahawa menafikan Perlembagaan negeri adalah langkah yang tidak berperlembagaan serta tidak mematuhi Perlembagaan negeri.

Ini bermakna Datuk Yang Dipertua tidak boleh menolak usul ini. Sekian saya bawa usul ini untuk perhatian Yang Dipertua. - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace