2 tahun mengenang kehilangan pesawat MH370

HARAKAHDAILY | .

Hari ini, Dewan Rakyat memulakan sidang dengan sesi bertafakur mengenang dua tahun kehilangan pesawat MH370 yang masih tinggal tanda tanya kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga dan saudara mara 50 orang rakyat Malaysia dalam kalangan 239 jumlah penumpang keseluruhan yang berada di dalam pesawat berkenaan.

MH370 berlepas dari Lapangan Terbang KLIA pada 8 Mac 2014 dan menuju ke Beijing melalui Laut China Selatan, kemudian ia dipercayai melencong ke Lautan Hindi berdasarkan radar tentera pada jam 2.15 pagi.

16 bulan selepas peristiwa hitam tersebut, berlaku suatu penemuan di Pulau Reunion yang dipercayai serpihan pesawat MH370.

Namun, usaha pencarian diberhentikan selepas 10 hari pencarian setelah hanya menemui jalan buntu. Kini, kehilangan misteri pesawat MH370 mencapai usia dua tahun.

Persoalan paling utama yang masih gagal ditanggapi ketika ini adalah apakah yang telah berlaku terhadap pesawat terbabit.

Meskipun pelbagai ulasan diberikan daripada pakar-pakar penerbangan, namun, ia hanyalah telahan berdasarkan rantaian plot dan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku. Sejauh mana kebenarannya tiada siapa yang tahu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan rasa dukacita di atas tragedi besar ini dan mendoakan agar segala persoalan mengenai peristiwa hitam ini akan terjawab kelak.

DPPM juga mengharapkan agar ahli keluarga dan saudara mara penumpang pesawat MH370 agar terus bersabar dan berdoa semoga pesawat MH370 akan berjaya ditemui kelak, insya Allah.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace