Hak Tuanku jika berkenan orang PAS, kata Ahmad Said

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sedia menghadapi sebarang kemungkinan dipecat, setelah mengemukakan satu usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Usul tersebut dibawanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan titah ucapan Tuanku Sultan Terengganu, hari ini.

“Saya selaku bekas menteri besar merasa kesal dengan apa yang berlaku dalam negeri Terengganu ini yang bagi saya tidak berperlembagaan.

“Kerana Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu adalah undang-undang tertinggi bagi Negeri Terengganu dan Peraturan Dewan itu dibuat berasaskan kepada Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan bagi Negeri Terengganu.

“Dan telah disahkan oleh Penasihat Undang-undang (Datuk Azhar Abdul Hamid) tadi bahawa usul 14(6) ini betul, cuma terpulang kepada Speaker (Datuk Mohd Zubir Embong) untuk menolak dan sebagainya atas budi bicara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas itu ditangguhkan setelah berlaku ‘perang mulut’ antara Speaker dengan semua wakil rakyat pembangkang, petang tadi.

Katanya, asas kepada penolakan usul tersebut oleh Speaker kerana tidak mengikut notis 14 hari, sedangkan ia tidak perlu kepada notis berkenaan.
 
“Ini (usul) tidak perlukan notis dan ini bukan soal budi bicara tetapi soal Peraturan Dewan, soal Perlembagaan Negeri Terengganu. Jika peraturan ini tidak ada, sampai kiamat pun tidak akan ada undi tidak percaya.

“Jelas (ini) satu perlanggaran Perlembagaan yang nyata dan di Terengganu ini pernah berlaku tahun 1961. Bagaimana kerajaan PAS (ketika itu) di bawah pimpinan Daud Samad (Menteri Besar) menghadapi undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) ini dan undang-undang yang sama juga dipakai,” jelasnya.

Ketika ditanya sebarang kemungkinan bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh lembaga disiplin Umno kerana ‘bersekongkol’ dengan pembangkang, beliau berkata terpulang kepada parti untuk mengambil tindakan terhadapnya tetapi tidak akan keluar dari Umno buat masa ini.

“Saya ahli Umno dan tak keluar Umno kecuali pecat saya, tak apalah. Saya masih kekal dengan BN, saya orang Umno.

“Saya sangat kecewa sebab keputusan dibuat tidak mengikut perlembagaan. Undang-undang tertinggi bagi sebuah negara adalah Perlembagaan Negara, Undang-undang tertinggi bagi sebuah negeri adalah Perlembagaan Negeri.

“Peraturan Dewan hanya diambil sebagai sebahagian dari undang-undang. Mana yang lebih tinggi, Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri dengan Peraturan Dewan,” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau, pemimpin Umno Terengganu tidak perlu bimbang dengan usul tersebut kerana kedudukan kerusi Dun BN adalah 17 dan pembangkang 15 kerusi sahaja.

“Di Terengganu ini kita 17-15 kerusi Dun antara kerajaan dan pembangkang.

“Jika buat macam hari ini, berlaku krisis Perlembagaan mungkin saya marah, mungkin cara lain saya buat. Sebab jika berlaku undi hari ini kita kalah, OK kita terima.

“Kalau MB kalah tukar MB. Itu tidak ada masalah dan BN boleh memerintah lagi sebab ada 17 kerusi Dun. Tidak semestinya PAS memerintah dan terpulang kepada Tuanku. Jika Tuanku berkenan orang PAS, itu hak Tuanku,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace