Usul undi tidak percaya MB dari Adun BN, bukan PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS melahirkan rasa dukacita, terkilan dan kesal dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul di bawah Perkara 14(6).

Ini kerana, kata Ketua Pembangkang, Ustaz Satiful Bahri Mamat tindakan Speaker Dun itu telah melanggar peraturan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu.

Menurutnya, imej Menteri Besar juga tercalar seperti hilang kredibiliti dan sokongan dari pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri.

“Pertama, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebenarnya usul cadangan 14(6) Perlembagaan Negeri itu dibawa oleh wakil Umno bukan dari pembangkang.

“Tapi hari ini, kita rasa berlaku pelanggaran peraturan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu yang dicabar sedemikian rupanya.

“Kedua, imej Menteri Besar Terengganu. Saya rasa hari ini Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif) sendiri pun rasa tidak yakin dengan kredibiliti dia sendiri,” ujarnya kepada media, petang tadi.

Beliau yang juga Adun Paka menyifatkan Menteri Besar Terengganu telah hilang kepercayaan dari kalangan pemimpin Umno BN sendiri.

Menurutnya, usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar itu dibuat oleh Adun Umno BN sendiri dan bukan dari kalangan wakil rakyat PAS.

“Tindakan ini menggambarkan bahawa Menteri Besar sendiri ragu untuk mendapat sokongan dan sebenarnya hilang kepercayaan di kalangan pemimpin Umno BN sendiri.

“Sebab yang bawa usul itu adalah Adun Umno Kijal dan bukan dari kalangan PAS. Itu satu gambar imej yang buruk dan rakyat juga ingin tahu senario itu. Adakah Menteri Besar sekarang ini mendapat kepercayaan ahli parti dia sendiri?” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri. - HARAKAHDAILY 8/3/2016

Share on Myspace