Presiden PAS tegur politik melampau hingga abai akhlak

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui politik tidak boleh dihentikan malangnya ramai dalam kalangan mereka yang berpolitik melampau sehingga mengabaikan akhlak.

Bercakap ketika mengambil bahagian membahaskan Ucapan Titah Yang DiPertuan Agung di Dewan Rakyat hari ini, beliau mengingatkan bahawa Islam tidak menganjurkan budaya memecat pemimpin sebaliknya bertindak memperbetulkan pemimpin itu sendiri.

"Budaya memecat pemimpin tidak digalakkan tetapi memperbetulkan pemimpin itulah sebaiknya di dalam negara sendiri. Apa yang berlaku Arab Spring ialah menjadi musim bunga yang tidak berbuah, kerana campur tangan kuasa asing," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengakui tidak bersetuju dengan pentadbiran kerajaan BN tetapi PAS masih mendokong sistem demokrasi negara ini.

"Saya tidak setuju tetapi kita sabar walaupun kita sebuah parti yang sudah lama, menang atau kalah, kita tidak kisah yang penting jangan kacau rakyat," katanya yang mengakhiri ucapannya di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menggesa kerajaan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152 iaitu menjadi bahasa perantara untuk semua kaum.

Malangnya kata beliau, hari ini kerajaan dalam usaha untuk melaksanakan Program Dwi Bahasa (DLP) yang dilihat sekali lagi mahu meminggirkan Bahasa Melayu.

"Bahasa adalah naluri sesuatu kaum. Ilmu asas pun mahu guna bahasa asing. Sepatutnya hendak belajar sains guna bahasa Melayu.

"Jika kita tinggalkan bahasa kita, akibatnya ramai bumiputera ketinggalan dalam pendidikan," tegas beliau.

Menerusi DLP yang merupakan program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pihak sekolah dibenarkan mengajar subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam bahasa Inggeris. – HARAKAHDAILY 9/3/2016

Share on Myspace