PAS gesa kerajaan selesai isu padi elak petani rugi

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

ROMPIN: Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Exco Pertanian digesa menangani segera masalah lambakan padi di kilang Lembaga Beras Nasional (Bernas) demi mengelakkan kerugian kepada petani.
 
Yang Di-Pertua Pas Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad berkata, ini disebabkan hasil padi yang sudah masak tidak dapat dituai mengikut jadual kerana lambakan di satu-satunya pusat belian padi iaitu kilang tunggal Bernas di Simpang Sepayang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang menambah, keadaan ini menyebabkan petani mengalami kerugian sekali gus merencatkan sumber pendapatan mereka.
 
“PAS berpendapat tindakan pihak kerajaan menarik balik semua lesen membeli padi yang diberikan kepada pengusaha kecuali dimonopoli oleh Bernas, adalah tidak wajar.
 
“Sepatutnya, isu yang berbangkit di antara pengusaha dan pihak Bernas ditangani dengan sebaiknya, kerana yang akan menanggung kerugian ialah pihak ketiga iaitu para petani,” katanya.
 
Tambahnya, petani termasuk dalam kalangan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam negara ini namun sumbangan dan peranan mereka sangat besar dalam sektor pemakananan negara lebih-lebih lagi beras adalah makanan asasi bagi penduduk negara ini.
 
“Tindakan memberi monopoli kepada Bernas juga menjadikan agensi tersebut penentu harga pasaran padi, selain tindakan ini menyusahkan para petani dan menyekat pendapatan pengusaha padi yang telah menjadikan ia sebagai sumber pendapatan mereka selama ini.
 
“Justeru, pihak berkuasa termasuk Ahli Parlimen Rompin, diseru supaya tampil menyelesaikan isu ini yang dijangka akan berulang pada musim menuai akan datang jika tidak ditangani dengan baik, agar dilihat lebih cakna dan bertanggungjawab dengan kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat marhaen selama ini,” ujarnya.
 
Media semalam menyiarkan rungutan petani di  Setajam, Endau, Merchong dan Sepayang di sini yang berhadapan kerugian kerana lambakan hasil dan padi masak yang rosak akibat tidak dituai.
 
Difahamkan satu-satunya kilang Bernas itu terpaksa menghadkan pembelian harian kerana masalah tempat penyimpanan yang terhad berikutan musim menuai. – HARAKAHDAILY 9/3/2016

Share on Myspace