Fenomena gerhana matahari juga punca peningkatan suhu

LUCIA TEREY ANAK JOHN | .

JOHOR BAHARU: Cuaca panas yang melanda negara sekarang juga berkait rapat dengan fenomena gerhana matahari kerana ia menyebabkan tiupan angin terhenti seketika, demikian hasil kajian sekumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
    
"Gerhana ini seringkali dikaitkan dengan peningkatan suhu kerana ia akan memberhentikan seketika angin dan itu betul. Suhu normal iaitu 29 darjah Celsius umpamanya boleh meningkat dalam kadar satu atau dua darjah, berikutan fenomena itu," kata pakar astronomi dan pensyarah kanan Fakulti Geoinformasi dan Hartanah UTM, Dr Othman Zainon yang mengetuai kajian itu di sini hari ini.
    
Keadaan cuaca sekarang juga berikutan pertembungan fenomena gerhana matahari separa dan El-Nino, katanya sambil menambah beliau tidak pasti bila cuaca panas ini dijangka kembali normal.
    
Othman berkata kajian itu bertujuan bagi mengenal pasti kesan gerhana itu terhadap beberapa perkara termasuk daya tarikan graviti, cuaca, keperilakuan haiwan serta insiden suhu dan pasang surut di laut.
    
Kajian tersebut pertama kali dilakukan di Malaysia dan disertai kira-kira 80 orang pelajar dan 10 kakitangan universiti, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan peristiwa gerhana matahari separa menggunakan teleskop, teodolit dan 'total station' bersama orang ramai.
    
Kajian juga melibatkan beberapa uji kaji yang dilakukan dalam tiga fasa antaranya menganalisis tegakan telur ayam di atas permukaan lantai dan corak perubahan tekanan air ketika berada dalam sukatan silinder dengan kedua-dua uji kaji ini bermatlamat mengenal pasti kesan gerhana ke atas daya tarikan graviti bumi.
    
Othman berkata kajian juga meneliti perubahan yang berlaku terhadap tingkah laku haiwan umpamanya rusa dan kuda, selain melihat bagaimana gerhana tersebut memberi impak ke atas suhu di permukaan laut, cuaca dan peristiwa pasang surut.
    
Kajian juga turut melakukan cerapan ke atas pergerakan-pergerakan gerhana.
    
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan hasil serta data kajian tersebut dapat diproses sepenuhnya dalam masa sebulan, sebelum dikongsi dengan mana-mana pihak berminat.
    
"Setakat ini, biarpun belum lengkap, sudah ada pihak yang telah menyatakan minat untuk mendapatkan hasil dan data kajian. Mereka ialah Institut Penyelidikan Astronomi Kebangsaan Thailand (NARIT), yang mahukan data berbentuk gambar cerapan gerhana setiap dua minit bagi menentukan secara tepat jarak
sebenar bumi dan bulan," katanya.- Bernama

Share on Myspace