Kelantan kaji sebat pesalah syariah di khalayak ramai

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membuat kajian bagi melaksanakan hukuman sebat enam rotan bagi kesalahan zina di khalayak ramai bagi menimbulkan rasa gerun orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassurudin Daud berkata hukuman sebat bagi kesalahan syariah sebelum ini dijalankan di penjara.

“Dalam al-Quran ada disebut orang mukmin boleh melihat hukuman sebat yang dijalankan. Oleh itu kita akan membuat kajian mengenai cadangan itu,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Semalam Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang) mencadangkan kerajaan negeri menjalankan hukuman sebat enam rotan ke atas kesalahan zina di tempat terbuka.

Tahun lepas Mahkamah Tinggi Sabah menjatuhkan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang disabit kesalahan zina di pekarangan mahkamah itu dengan disaksikan 40 jemputan khas.

Nassurudin juga berkata Kelantan merupakan negeri pertama mewujudkan Jabatan Pendakwaan Syariah di negara ini yang diasingkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Menjelaskan mengenai dakwaan Datuk Husam Musa (PAS-Salor) penangguhan pelantikan penghulu di Dun Salor, katanya ia dibuat bagi menyelesaikan beberapa isu.

“Penghulu merupakan lantikan politik. Kalau ada masalah berbangkit kita selesaikan dahulu. Lantikan politik mesti diambil kira orang memberi sokongan kepada jemaah kita.

“Penghulu memegang amanah besar kerajaan, jadi wajar lantikan bagi jawatan politik kita tangguh sementara bagi menyelesaikan perkara berbangkit

“Pertemuan telah diadakan. Tidak timbul soal zalim dalam isu ini,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 9/3/2016

Share on Myspace