Kelantan pertingkat kuasa Mahkamah Syariah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan melulus pindaan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah bagi meningkat bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.

Pindaan itu membolehkan Mahkamah Rendah Syariah membicara dan memutuskan segala tindakan berkaitan pertikaian pusaka yang tidak melebihi RM200,000.

Sedangkan sebelum ini Seksyen 14(1) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 memperuntukkan bidang kuasa perakuan pesaka yang tidak melebihi RM25,000.     

Enakmen pindaan itu dibentang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada persidangan Dun petang ini.

Pindaan enakmen itu yang mengandungi lima bahagian kemudian dilulus sebulat suara anggota Dewan yang hadir.

Enakmen terbabit kali terakhir dipinda pada 2009 yang memperuntuk bidang kuasa mal dan bidang kuasa jenayah syariah.

Nassuruddin berkata pada 10 Mei tahun lepas Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan mencadangkan pindaan dibuat ke atas Seksyen 14(1) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 untuk memberi tambahan bidang kuasa perakuan pesaka di Mahkamah Rendah Syariah kepada RM200,000.

“Peningkatan itu dibuat supaya selari dengan bidang kuasa mal yang telah diberikan kepada Mahkamah Rendah Syariah di setiap jajahan pada 2009.

“Draf cadangannya mendapat persetujuan dari Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 11 Oktober 2015 dan mendapat persetujuan Exco pada 23 Disember 2015,” ujarnya.

Pindaan yang dibuat dengan membuang perkataan “dua puluh lima ribu ringgit” kepada “dua ratus ribu ringgit”. - HARAKAHDAILY 9/3/2016

Share on Myspace