'Kajang Move' pemula rosaknya Pakatan Rakyat

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

LENGGONG: Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa 'Kajang Move' merupakan sejarah pemula rosaknya Pakatan Rakyat yang tidak boleh dilupakan.

Beliau melontarkan ingatan agar tidak menganggu pegangan PAS atas pandangan tersendirinya sebagaimana PAS tidak mengganggu pihak yang melaksanakan 'Kajang Move' walaupun akhirnya gagal.

Jelas Idris, PAS ada organisasi, pimpinan dan rujukan sendiri dan sepertimana PAS menghormati pandangan pihak lain, maka begitu juga mereka perlu menghormati pendirian dan sikap PAS.

"Saya minta agar tolong hormati perlembagaan PAS, PAS sudah 65 tahun dan PAS bukan budak-budak lagi. PAS kaya pengalaman, PAS pernah duduk di takhta Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Campuran dan BN.

"PAS pernah ditendang daripada BN, PAS pernah menguasai Kelantan 18 tahun, kalah 12 tahun, hanya tinggal batu nisan, bahkan PAS di Terengganu sekitar tahun 1978 kosong kerusi kemudian kita menang 5 kerusi.

"Akhir 1999 kita menang dan 2004 kita kalah, manakala di Kedah PAS pernah tinggal satu kerusi Bukit Raya," ujarnya membentang beberapa perjalanan PAS dalam arena politik negara.

Tegasnya, jangan cuba tafsirkan tindakan dan menuduh PAS bersekongkol dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Idris berkata, politik adalah berkaitan dengan ijitihad iaitu berkemungkinan pandangan kita betul dan pandangan mereka salah.

Oleh itu, beliau mengharapkan agar saling menghormati pandangan satu sama lain. – HARAKAHDAILY 10/3/2016

Share on Myspace