Beri latihan kepada pembantu rumah, taska kendali bayi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya mengakui pembantu rumah, tadika atau taska tidak mempunyai latihan dalam hal-hal keselamatan dan kesihatan secara formal.

Beliau berkata, ramai dalam kalangan mereka tidak mempunyai pengetahuan misalnya bagaimana kaedah memberi susu kepada bayi menyebabkan banyak kes-kes kematian bayi kerana tersedak susu.

"Pembantu rumah, tadika atau taska tidak ada latihan langsung malah ada yang tidak tahu mencuci botol susu dan beri susu kepada bayi hanya lampik bantal dan biarkan tiba-tiba meninggal. Ini berlaku," katanya ketika di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat, Hilmi berkata, kerajaan perlu memandang serius soal keselamatan anak-anak di taska malangnya kemudahan tidak mencukupi sehingga seorang pembantu terpaksa mengasuh lebih 10 orang kanak-kanak.

Katanya pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memberi latihan atau kursus kepada pembantu sama ada dalam kalangan warga asing atau tempatan.

Terdahulu Che Rosli menyarankan agar Kementerian Kesihatan memberi kursus formal kepada pembantu rumah, tadika atau taska memandangkan statistik menunjukkan seramai 176,559 pembantu rumah asing berdaftar di negara ini.

"Saya fikir di masa akan datang perlunya pembantu rumah dan tadika yang mempunyai pengetahuan dari segi aspek kesihatan kerana banyak kes-kes penjagaan kanak-kanak terabai misalnya penyakit berjangkit, keperluan ini juga boleh diterapkan kepada penjagaan warga emas," katanya.

Katanya, kerajaan boleh mewujudkan program sains bersekutu iaitu memberi latihan kepada anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mereka boleh mengikuti kerjaya yang lebih terjamin di masa akan datang. – HARAKAHDAILY 10/3/2016

Share on Myspace