PAS mahu kuasa melalui pilihan raya – PJ Perak

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

LENGGONG: Kehadiran ke program tarbiyah amat penting agar ahli dapat memahami dan mengenali perjuangan PAS dengan sebenar-benarnya, demikian seru Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria.

Katanya, apabila perjuangan PAS difahami, maka setiap keputusan dan tindakan pimpinan pasti dihormati, bahkan dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, selain penekanan aspek tarbiyah, ahli juga mesti memahami bahawa PAS adalah gerakan dakwah yang berperanan mengajak manusia kepada Allah SWT.

"PAS membawa matlamat dakwah untuk menyelamatkan manusia dari azab Allah SWT dan dikurniakan rahmat kepada manusia apabila melaksanakan syariat Islam. Semua perkara dan tindakan kita perlu berpaksikan al-Quran dan Hadis, inilah perjuangan PAS.

"PAS juga adalah sebuah parti politik, kerana melalui penglibatan politik, PAS berpeluang memerintah untuk merealisasikan ‘iqamatuddin wasiyasatud dunya bih’ iaitu menegakkan agama serta mentadbir dunia," ujarnya pada program Fastaqim PAS Kawasan Lenggong di Pekan Lenggong.

Menurut beliau, PAS bukan ingin merampas kuasa dengan pendekatan kekerasan, sebaliknya mengikut perlembagaan dan sistem demokrasi melalui pilihan raya.

Tambahnya, di Perak terdapat 59 Dun, maka untuk memerintah perlu mendapat 30 kerusi termasuk Melayu, India dan Cina.

Razman berkata, kaum Cina telah memberi undi 90 peratus kepada PAS, juga kaum India, tetapi kaum Melayu hanya berikan undi 30 peratus sahaja.

Haapan beliau agar masyarakat memberikan kepercayaan kepada PAS untuk memerintah negara, sekali gus memastikan syariat Islam diaplikasikan sebaiknya dalam pentadbiran. – HARAKAHDAILY 10/3/2016

Share on Myspace