CAP gesa haram bedak talkum, produk berasas talc

SM MOHAMED IDRIS | .

Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan talc.

Komposisi talc menyerupai asbestos, dan ia terkandung dalam produk seperti bedak bayi, pembayang mata, pemerah pipi dan deodoran. Namun talc telah dikaitkan dengan kanser ovari dan masalah pernafasan.

Walaupun talc digunakan secara meluas dalam kosmetik di seluruh dunia, tetapi kemungkinan talc bebas asbestos juga bersifat karsinogenik telah mendorong Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan kosmetik berasaskan talc.

Baru-baru ini syarikat terkemuka Johnson & Johnson telah diarah membayar pampasan sebanyak $72 juta kepada keluarga seorang wanita dari Alabama yang meninggal dunia akibat kanser ovari. Beliau dikatakan menggunakan bedak bayi keluaran syarikat berkenaan dan produk lain yang mengandungi talc untuk kebersihan diri.

Di Malaysia, kanser ovari merupakan penyebab kelima paling kerap menyerang wanita, dengan kira-kira 500 mangsa dikesan menghidapnya setiap tahun. Ia membabitkan wanita yang berusia 50 tahun ke atas dan paling ramai membabitkan wanita Melayu, diikuti oleh wanita Cina dan India.

Kanser ovari diketahui boleh membunuh kerana ia berlaku secara senyap dan cuma dikesan selepas mencecah tahap akhir.

Bedak talkum yang disapu terus pada kulit mewangikan tubuh. Komponen utama di dalamnya ialah magnesium silicate hydroxide (dikenali sebagai talc). Talc menjadi ramuan utama dalam bedak bayi, bedak berubat dan bedak wangi.

Talc bersifat toksik kerana zarah-zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru. Zarah talc mampu naik ke sistem pembiakan dan melekat pada dinding ovari.  

Hasil kajian telah menemui zarah-zarah talc dalam tumor ovari sementara wanita yang menghidap kanser ovari kerap menyapu bedak talkum pada alat sulit mereka berbanding wanita yang sihat.

Bedak talkum juga boleh membahayakan paru-paru kerana zarah-zarah yang halus boleh masuk ke dalamnya. Debu bedak talkum bila tersebar dalam udara akan dihidu oleh bayi dan pengguna lain. Menyedut debu tersebut ketika menyalin lampin pula boleh menyebabkan kecederaan malah kematian bayi.

Talc juga boleh menyebabkan saluran udara bayi membengkak dan menyebabkan pneumonia. Malah bedak talkum pernah dikaitkan dengan asma kanak-kanak.

Statistik telah menunjukkan ribuan kanak-kanak meninggal dunia atau mengalami kesakitan yang teruk setelah terhidu bedak talkum.

Talc disapukan pada bayi kerana ia mampu menyerap lembapan yang kurang menyenangkan. Menabur dan menyapu bedak talkum kepada bayi membahayakan paru-parunya. Mendedahkan kanak-kanak kepada bahan berkarsinogen ini bukan sahaja tidak perlu malah memudaratkan.

Di sebalik bahaya yang dikaitkan dengannya, terdapat pelbagai jenama bedak talkum di pasaran dan sesetengahnya mensasarkan bayi.

Berikutan pelbagai bahaya yang dikaitkan dengan bedak talkum dan produk yang mengandungi talc, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan agar mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan talc.

Sementara itu pengguna dinasihatkan supaya menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras. Ibu-ibu pula dinasihatkan supaya menggunakan minyak sapu (ointment) dan bukannya bedak talkum berubat untuk menghilangkan ruam pada bayi. - HARAKAHDAILY 10/3/2016
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Share on Myspace