Sesi sekolah di Kelantan bermula jam 8 diperluas

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mencadangkan sesi persekolahan bermula jam 8 pagi yang diamalkan sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) turut diperluas ke sekolah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan berkata Jabatan Pelajaran Negeri juga boleh mengkaji cadangan itu bagi keselesaan pelajar.

“Hal ini kerana berdasarkan maklumat yang diterima daripada ibu bapa dan pelajar, permulaan waktu belajar jam 8 pagi lebih selesa.

“Pelajar lebih selesa membuat persiapan ke sekolah dan tidak perlu tergesa-gesa sangat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Mulai sesi persekolahan tahun ini sekolah-sekolah agama di bawah Yik memulakan waktu pembelajaran jam 8 pagi memadangkan waktu Subuh agak lewat pada awal tahun.

Tahun lepas Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob memberitahu sesi persekolahan sekolah Yik akan bermula jam 8 pagi bagi tempoh Januari hingga Jun 2016 kerana waktu Subuh lewat.

Katanya selepas Jun, sesi persekolahan Yik kembali sebagaimana biasa bermula jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun Dr Fadzli berkata Yik bercadang meneruskan sesi persekolahan jam 8 pagi sepanjang tahun selepas mendapat reaksi positif masyarakat. – HARAKAHDAILY 10/3/2016

Share on Myspace