Kalau tukar pemimpin tetapi dasar kekal tiada makna

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

LENGGONG: PAS konsisten dan istiqamah di atas setiap perkara yang diperkata dan dilaksanakan sebagaimana perjuangannya menentang Umno adalah kerana dasar dan terhadap pihak memiliki kuasa.

Ia mengulangi sunnah para Nabi berhadapan golongan yang mempunyai kuasa seperti Nabi Muhammad berlawan Abu Lahab, Nabi Ibrahim menentang Namrud dan Nabi Musa mendepani Firaun.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pada program Fastaqim PAS Kawasan Lenggong di Pekan Lenggong.

Menurut beliau, pertentangan tersebut adalah untuk mengambil kuasa daripada mereka supaya dapat memerintah negeri dan menguruskan negara mengikut syariat Allah.

"Dalam hal seperti ini jelas kepada kita, yang kita ingin tukarkan adalah kerajaan, bukan Zahid ganti Najib. Kita mahukan PAS ganti Umno.

"Perjuangan PAS apabila bercakap untuk menggantikan Umno orang sebut (Jami' Mani') kita tukar parti dan tukar pemimpin.

"Manakala mereka (Umno) hanya untuk tukar pemimpin, orang sama meneruskan dasar yang sama (Tahsilul Hasil)," ujar beliau menyatakan pendirian PAS sebenar.

Idris berkata, ketika zaman Mahathir berlaku isu penyelewengan PKFZ dan kini zaman Najib muncul isu seumpama iaitu 1MDB, kerana dasar pemerintahan tidak berubah.

Beliau memberi perumpamaan seperti acuan kuih bahulu yang tetap menghasilkan bahulu dan bukannya kuih lain.

Menyentuh mengenai kehadiran Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pada deklarasi rakyat baru-baru ini, katanya, perkara itu adalah dalam makluman Presiden PAS.

"Deklarasi yang dibuat itu adalah deklarasi rakyat, bukan atas nama peribadi. Kerana isu seperti rasuah, penyelewengan, penindasan adalah isu bersama.

"Mana yang kurang dalam deklarasi itu kita lengkapkan. Namun PAS tetap dengan pendirian tersendiri iaitu PAS ganti Umno," jelasnya menerangkan pendekatan PAS yang lebih matang. – HARAKAHDAILY 10/3/2016

Share on Myspace