Kerajaan mesti serius laksana optimumkan perbelanjaan

HARAKAHDAILY | .

Pejabat Belanjawan Negara pada 1 Mac 2016 telah mengeluarkan pekeliling 'Garis Panduan Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan' bagi memastikan sasaran fiskal yang ditetapkan dapat dicapai menerusi pengurusan sumber yang cekap dan berkesan.

Walaupun garis panduan ini memperlihatkan bahawa kerajaan sedang dalam keadaan amat terdesak mengurus hasil pendapat negara ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi, namun secara umumnya, banyak langkah-langkah yang diumumkan dalam garis panduan tersebut adalah positif ke arah objektif yang mahu dicapai.

Meskipun begitu, Kerajaan juga mesti memberikan perhatian dan menilai semula beberapa perkara seperti bantahan yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkenaan pembekuan jawatan baru dan kawalan ketat terhadap kerja lebih masa agar ia tidak menganiaya kumpulan tertentu dan menjejaskan produktiviti kerja.

Saya juga mencadangkan kepada Kerajaan agar mengisytiharkan jumlah anggaran penjimatan daripada pelaksanaan langkah-langkah ini agar ia menjadi kayu ukur dan rakyat pula boleh menilai dan mengetahui keberkesanannya secara terus sebelum belanjawan baru diumumkan.

Kerajaan juga mesti lebih serius melaksanakan langkah-langkah ini termasuk dengan penguatkuasaan yang lebih tegas ke semua peringkat pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

Jika tidak, dikhuatiri pekeliling yang hanya berstatus garis panduan ini menjadi sesuatu yang tidak diendahkan oleh pihak-pihak berkenaan.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
10 Mac 2016 | 1 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 10/3/2016

Share on Myspace