PRN Sarawak: Peluang PAS bukti bukan untuk orang Islam sahaja

HARAKAHDAILY | .

Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak yang boleh diadakan pada bila-bila masa adalah peluang bagi PAS menegaskan sekali lagi ia bukan sekadar parti untuk orang Islam sahaja.

PAS dijangka akan bertanding di kerusi-kerusi Dun di mana orang Islam bukan majoriti.

Ia berbeza dengan pandangan sebelum ini bahawa PAS hanya boleh bertanding di kerusi-kerusi di mana peratus orang Islam melebihi 50 peratus.

Malah terdapat mereka yang berpandangan PAS hanya boleh bertanding di kerusi-kerusi di mana orang Islam melebihi 80 peratus.

Pada PRN Sarawak kali ini, PAS akan menegaskan ia juga boleh berperanan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Memperjuangkan nasib dan masa depan mereka seperti dilakukan untuk masyarakat Islam serta memahami keperluan dan aspirasi mereka.

Sejak 2008, Exco, wakil rakyat dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan PAS di Selangor telah berperanan dengan jayannya di dalam masyarakat di mana peratus orang bukan Islam adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, PRN Sarawak merupakan satu peluang lagi untuk menegaskan semula peranan PAS itu kepada rakyat.

Peranan PAS ini adalah selari dengan konsep rahmat untuk semua yang dibawa oleh Islam sejak 1,400 tahun dahulu.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Naib Presiden PAS
11 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 11/3/2016

Share on Myspace