Sejarah: PAS hilang Kerajaan Kelantan kerana sabotaj

HARAKAHDAILY | .

PAS HILANG KERAJAAN KELANTAN KERANA SABOTAJ PARTI SERPIHAN (11 MAC 1978)

PADA hari ini dalam tahun 1978, PAS telah mencatat pengalaman terburuk dalam sejarahnya apabila Kerajaan Kelantan yang dipegang semenjak 1959 telah jatuh ke tangan BN ekoran krisis kepemimpinan yang tercetus dalam PAS semenjak Pilihan Raya Umum 1974.

Sebelum ini PAS telah diberi mandat untuk memerintah semenjak Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959, diikuti oleh siri-siri pilihan paya pada 1964, 1969 dan 1974, sebelum tewas pada 1978 setelah 18 tahun usia kerajaannya.

Krisis kepemimpinan PAS bermula sejak 1974 kerana PAS menyertai BN sehingga terdapat ahli PAS menubuhkan serpihan seperti Revolusi 14 Mac dan parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) sebelum Pilihan Raya Umum 1974.

Selepas pilihan raya ini, konflik beralih kepada isu pelantikan Menteri Besar Kelantan di mana PAS memilih Wan Ismail Ibrahim sebagai calon, tetapi ditolak oleh Umno sehingga akhirnya Dato' Mohamed Nasir menjadi Menteri Besar.

Isu Dato' Mohamed Nasir membarah pada 1977 yang membawa kepada pemecatan beliau daripada PAS pada 10 Oktober 1977.

Kesan dari pemecatan ini, PAS telah berpecah di mana penyokong Dato' Mohamed Nasir dengan kerjasama Umno telah menubuhkan Parti Progresif Islam (PPI) pada 25 September 1977, dan setelah beliau dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, PPI yang bergabung dengan IMAM telah membentuk Barisan Jamaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA).

Penyokong-penyokong Dato' Mohamed Nasir yang diketuai oleh Ketua Pemuda Berjasa, Ibrahim Ali telah melakukan demonstrasi dan rusuhan di Kota Bharu sehingga ia menjadi alasan Kerajaan Pusat mendaruratkan Kelantan melalui akta parlimen pada 8 November 1977.

Akta Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 ini menjadi punca PAS dipecat daripada BN pada 13 Disember 1977.

Dalam suasana politik yang gawat ini, Kelantan ditadbir secara Mageran dengan Hashim Aman sebagai pengarah.

Pada 12 Februari 1978, Mageran dimansuhkan dan darurat ditamatkan, diikuti oleh pembubaran Dun Kelantan pada 13 Februari 1978.

Pilihan Raya Negeri Kelantan yang diadakan berasingan ditetapkan pada 11 Mac 1978.

PAS meletakkan calon di semua 36 kerusi dan mengeluarkan manifesto bertajuk 'Undilah Bulan Purnama untuk Menjamin Kedaulatan Agama, Bangsa dan Negara' pada 6 Mac 1978.

Dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978 ini, 34 orang calon PAS telah tewas kepada calon Umno (22 kerusi), Berjasa (11 kerusi) dan MCA (1 kerusi).

PAS hanya menang dua kerusi iaitu Sering (Ustaz Nik Abdullah Arshad) dan Manik Urai (Wan Abdullah Wan Su) yang menyebabkan Kerajaan PAS yang berusia 18 tahun ini tumbang dan diganti oleh Kerajaan BN yang dipimpin oleh Dato' Mohamed Yaacob sebagai Menteri Besar.

Faktor utama kekalahan PAS ini ialah peranan Berjasa yang memecahkan undi melalui strategi susunan Umno iaitu pertandingan tiga penjuru di kerusi marginal.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 11/3/2016

Share on Myspace