Tutup aurat: Perlu kerjasama pembekal pakaian sukan

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat perkembangan terbaru pakaian sukan bagi skuad bola sepak Afghanistan oleh syarikat jenama sukan 'Hummels' merupakan satu perkara yang positif dalam inovasi kepada pematuhan hukum dalam pemakaian ketika bersukan bagi kaum wanita Islam.

Menerusi pakaian sukan keluaran syarikat "Hummels" yang berpangkalan di Denmark ini yang juga pembekal rasmi jersi kebangsaan Denmark dan Lithuania, keperluan untuk atlet wanita muslimah yang terlibat dalam acara sukan seperti bola sepak, hoki dan badminton untuk menutup aurat dengan baik dapat dilaksanakan.

Bagi pihak DPPM, saya menyeru pihak Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, persatuan-persatuan sukan serta juga penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya dapat menjemput syarikat "Hummels" untuk memberikan taklimat berkenaan pakaian sukan ciptaan mereka tersebut.

Dalam hal ini pihak DPPM juga bersedia untuk terlibat dalam jawatankuasa untuk merangka dan melaksanakan garis panduan pemakaian atlit wanita Muslim dalam acara-acara sukan di negara ini.

Menerusi perkembangan terbaru ini juga diharapkan dapat memberikan pembelaan kepada atlit-atlit wanita negara terutama apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea pada 2017 nanti.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDDIN
Naib Ketua DPPM
Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPM
11 Mac 2016 | 2 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 11/3/2016

Share on Myspace