PAS Perak anjur himpunan 'Orang Muda Pilih PAS'

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Situasi negara hari ini semakin parah dengan kewujudan pelbagai isu dan krisis yang berlaku sekaligus memberi kesan kepada masyarakat khususnya golongan anak muda.

Pengarah Himpunan Anak Muda Istiqamah Perak [HIMMAH], Ustaz Hafez Sabri berkata, keadaan sedemikian memerlukan satu kebangkitan semangat perjuangan yang sebenar.

Tambahnya, resapan pemikiran songsang berlaku kini mengakibatkan luntur wajah Islam yang bersendikan keharmonian dan kematangan bahkan sebaliknya dipamerkan dengan entiti keganasan semata-mata.

Jelas beliau, golongan belia perlu disuburkan dengan kefahaman Islam sekaligus menjadi kader-kader dakwah bagi melengkapi keperluan semasa kepada masyarakat.

"Menyedari realiti tersebut Dewan Pemuda PAS Perak telah merencanakan satu himpunan yang dikenali sebagai Himpunan Anak Muda Istiqamah Perak [HIMMAH].

"Beberapa pengisian telah disusun khusus buat anak muda bagi membina momentum kekuatan istiqamah dalam perjuangan Islam yang semakin mencabar.

"Saya mengharapkan Himpunan Anak Muda Istiqamah Perak akan menguatkan ikatan ukhuwwah kita bersama bahkan saling membantu di atas paksi Islam sebenar," ujar beliau.

Hafez berkata, posisi anak muda tidak seharusnya sekadar berpeluk tubuh melihat segala kerosakkan yang berlaku namun sebaliknya menjadi ejen perubah ke arah lebih baik untuk memimpin masyarakat masa akan datang.

Menurutnya, pembawaan HIMMAH diterjemahkan melalui  slogan "Orang Muda Pilih PAS" untuk menzahirkan wadah perjuangan anak muda bersama dengan gerakan Islam.

Program himpunan tersebut bakal dihadiri oleh pimpinan PAS Pusat antaranya Presiden PAS; Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS;  Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS; Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan beberapa pimpinan PAS yang lain. HARAKAHDAILY 11/3/2016

Share on Myspace