Tarbiyah gembala kambing

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

RASULULLAH SAW menghadapi alam remajanya dengan tarbiyyah secara langsung dari Ilahi, meletakkan dirinya tidak bergantung kepada mana-mana orang lain. Di mana Nabi pernah memelihara kambing untuk nafkah hidup. Baginda pernah bersabda:

كنت أرعى الغنم على قراريط مكة

"Aku memelihara kambing di kawasan pengembalaan kambing."

Sebenarnya ada hikmah yang tersendiri Allah mengaturkan Nabi SAW mengembala kambing. Orang-orang arab menyatakan, mengembala kambing dapat membentuk peribadi seseorang.

Biasanya orang yang mengembala kambing memiliki sikap yang lembut dan baik. Ini kerana kambing merupakan haiwan yang kecil dan lemah. Membelanya memerlukan seseorang itu berlembut terhadapnya.

Membela lembu atau unta pula memerlukan seseorang bersifat tegas dan keras. Ini kerana binatang tersebut besar dan kuat. Kalau bela lembu dan unta, kerjanya nak piat (pukul) sokmo. Justeru ia akan membentuk peribadi seseorang menjadi keras.

Nabi SAW dan Nabi-Nabi semuanya dijadikan mengasuh kambing untuk membentuk peribadi yang lembut, baik dan pengasih. Sabda Rasulullah SAW:

ما من نبي إلا وقد رعى الغنم

"Tiada Nabi melainkan pernah mengembala kambing."

Para sahabat bertanya:

وأنت يا رسول الله؟

"Apakah engkau juga wahai Rasulullah?"

Nabi menjawab:

وأنا

"Dan begitu juga aku."

Kerana itulah juga mengikut sejarah, Islam mudah untuk masuk ke kawasan-kawasan masyarakat yang membela kambing kerana jiwa mereka yang lembut dan mudah didekati. Kawasan-kawasan yang banyak membela lembu, unta dan haiwan-haiwan besar, termasuklah juga kerbau agak keras sikapnya untuk menerima Islam.

Sejarah menunjukkan Islam sampai di kawasan yang menternak lembu dan unta melalui peperangan. Di kawasan ternakan kambing pula, Islam masuk melalui jalan dakwah sahaja. Ini dibahaskan mengikut ilmu jiwa, ilmu psikologi. – HARAKAHDAILY 11/3/2016

Petikan kuliah jumaat ayah chik (Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) Masjid Rusila 11 Mac 2016 2 Jumadal Akhira 1437.

Share on Myspace