Kabinet setuju tamat lantik Mahathir Penasihat Petronas

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini bersetuju sebulat suara menamatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
    
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata kabinet berpendapat oleh kerana Dr Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, beliau sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.
    
"Kabinet hari ini telah membincangkan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas.
    
"Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara," kata kenyataan itu.
    
Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat Petronas susulan persaraannya sebagai perdana menteri pada 2003.
    
Beliau juga merupakan Pengerusi Proton Holdings sejak Jun 2014. - Bernama

Share on Myspace