Perkasakan tugas sebagai isteri, ibu di samping kerjaya

HARAKAHDAILY | .

TULISAN saya beberapa hari lepas dalam menghuraikan fenomena perceraian yang semakin meningkat mendapat perhatian banyak pihak termasuk pergerakan wanita.

Berita asal boleh dirujuk di pautan berikut: http://pas.org.my/artikel-berita-dupp/7836-penceraian-institusi-kekeluargaan-makin-rapuh.

Beberapa portal lain turut membuat liputan terhadap kenyataan saya itu antaranya boleh dirujuk di pautan berikut:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/03/08/pas-desak-kerajaan-pandang-serius-isu-perceraian/

http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/pas-ulama-says-womens-place-is-at-home-as-wives-and-mothers

Memperkasakan fungsi dan tugasan sebagai isteri dan ibu tidak bermaksud para isteri dan ibu perlu meninggalkan pekerjaan dan kerjaya di luar rumah mereka. Tetapi ia dilakukan dengan meletakkan tugasan sebagai isteri dan ibu sebagai tugasan utama di samping kerjaya seharian sebagai tugasan kedua.

Kerjaya adalah satu medium untuk mendapatkan rezeki bagi membantu membahagiakan sesebuah keluarga menerusi rezeki yang lebih lapang dan baik.

Tugasan sebagai isteri dan ibu pula adalah tugasan utama yang jika tidak dilaksanakan keluarga tidak mungkin bahagia meskipun harta membukit dan menggunung.

Hatta, kerjaya bersifat fardhu kifayah yang menyumbang kepada umat dan bangsa seperti pendidikan sekalipun tetap menjadi tugasan kedua selepas tugasan sebagai ibu dan isteri yang bersifat fardhu ain.

Kerjaya yang bertujuan mencari rezeki sepatutnya menjadi alat dan medium dan bukannya matlamat. Ia bertujuan membantu memenuhi keperluan jasadiyyah makan dan minum serta kehidupan fizikal. Tetapi menjadi seorang isteri dan ibu pula adalah keperluan batiniyyah dan kejiwaan yang tidak mungkin manusia mendapat kesempurnaan bahagia tanpanya bahkan institusi bermasyarakat pasti rosak tanpanya.

Kerosakan sosial hari ini ialah apabila para wanita berkeluarga mengutamakan kerjaya lalu mengabaikan tugasan utama sebagai isteri atau ibu.

Lebih merosakkan apabila sebahagian pergerakan wanita hanya menyeru wanita untuk berkerjaya tetapi tidak menyeru wanita memperkasakan institusi "keisterian" dan "keibuan". Malah ada yang bergerak songsang seolah memperkecilkan kedua-dua institusi tersebut.

Namun, yang lebih utama diperdebatkan ialah bagaimana masyarakat dan sistem bernegara boleh membantu para ibu dan wanita memperkasakan tugasan sebagai isteri dan ibu?

Saya mencadangkan antaranya dengan mengurangkan tempoh masa bekerja para wanita berkeluarga daripada 8 jam sehari kepada 5 atau 6 jam sehari tetapi dengan gaji yang sama seperti lelaki yang bekerja selama 8 jam sehari.

Meskipun kelihatan sukar kerana melibatkan kos, ia adalah satu hadiah bagi wanita yang sudah berkeluarga.

Bahkan, kerjaya sebagai usahawan di bidang yang tidak menuntut mereka menghabiskan sebahagian besar masa mereka di luar lingkungan keluarga perlu diperkasakan dan menjadi sebahagian sasaran kempen pergerakan wanita.

Ia boleh dilaksanakan menerusi konsep memanfaatkan "masa berkualiti" dan bukan hanya "kuantiti masa".

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 12 Mac 2016 | 3 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 12/3/2016

Share on Myspace