PAS mohon kerajaan dedah calon Gabenor Bank Negara

HARAKAHDAILY | .

Kerajaan diingatkan melantik Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru mengikut apa yang disaran oleh BNM.

Semestinya BNM sendiri dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tahu siapa yang lebih layak menggantikannya dari segi kelayakan, kepintaran, kebolehan dan terutamanya mereka yang bebas politik dan berani menentang gangguan politik ke atas BNM.

Lebih-lebih lagi, kejayaan yang dicapai BNM oleh Tan Sri Zeti dengan pengiktirafan pelbagai pihak sangat perlu dikekalkan, apa lagi dalam suasana negara berhadapan dengan pelbagai kemelut ekonomi serantau.

Kepakaran dalam menerajui kegawatan ekonomi semasa dan masa depan negara khasnya memerlukan kepakaran mengatasi tuntutan politik kepartian.

Demi kebaikan negara dan BNM, PAS memohon BNM dan kerajaan mendedahkan kepada umum nama calon yang dikemukakan untuk memastikan kerajaan tidak bermain politik dalam hal ini.

PAS tidak mahu insiden berulang di mana Peguam Negara mengumumkan tiada pendakwaan terhadap PM, manakala SPRM membayangkan adanya cukup bukti.

Jika ini berlaku, ia bermaksud urusan BNM telah dicampuri politik dalam perlantikan gabenor yang baru, dan ini bakal menjejaskan lagi keyakinan rakyat dan luar negara terhadap Malaysia.

PAS menegaskan bahawa mereka yang terlibat dengan politik dan pernah berkhidmat dengan kabinet di bawah Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dilantik menjadi Gabenor BNM yang baru kerana ia akan menjejaskan integriti dan nama baik BNM.

Jaminan PM bahawa BNM akan bebas dari campurtangan ahli politik masih dinanti-nanti oleh rakyat.

Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
12 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 12/3/2016

Share on Myspace