Fenomena el-Nino boleh sebabkan jerebu

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang menyebabkan peningkatan suhu yang melanda negara sejak Oktober tahun lalu boleh membawa kepada kejadian jerebu tempatan, kata Jabatan Meteorologi.
    
Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) jabatan itu, Alui Bahari  berkata, jerebu tempatan berlaku apabila zarah-zarah terampai daripada aktiviti industri dan kenderaan bermotor berterbangan di udara dan boleh menjejaskan jarak penglihatan.
    
"Semasa cuaca panas, banyak zarah-zarah terampai berterbangan di udara di mana peredaran angin yang lemah, cuaca panas dan kekurangan hujan juga boleh menyumbang kepada berlakunya jerebu tempatan ini.
    
"Bagaimanapun kesan jerebu tempatan ini tidaklah teruk dan biasanya ia berlaku dalam tempoh sementara sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
    
Mengulas lanjut mengenai cuaca panas, beliau menjelaskan negara sedang berada di penghujung musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir penghujung bulan ini atau awal bulan depan.
    
Alui berkata, dalam tempoh ini beberapa kawasan akan mengalami cuaca kering dan kekurangan hujan dan keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran fenomena El Nino yang membawa peningkatan suhu antara 0.5 hingga 2.0 darjah Celsius berbanding keadaan biasa.
    
"Bagaimanapun, pemerhatian semasa mendapati kekuatan fenomena El Nino mulai menurun dan dijangka berakhir pertengahan tahun ini," katanya.
    
Sementara itu, ramalan cuaca bagi tempoh Mac hingga Ogos tahun ini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi di laman webnya menyatakan beberapa kawasan sedang merasai kesan El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kekurangan jumlah taburan hujan.
    
Menurut ramalan itu, negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Kelantan dan utara Terengganu dijangka terus mengalami keadaan cuaca yang kering bulan ini dengan jumlah taburan hujan yang kurang berbanding purata bulanan.
    
Keadaan sama dijangka berlarutan sehingga April bagi beberapa kawasan dan cuaca bagi seluruh Semenanjung Malaysia dijangka kembali normal pada Mei hingga Ogos 2016 dengan jumlah hujan dijangka berada pada paras purata.
    
Bagi negeri Sarawak pula, kawasan Kuching dan Sri Aman akan menerima jumlah taburan hujan lebih sedikit di atas paras purata bulan ini, manakala kawasan Bintulu, Miri dan Limbang dijangka menerima jumlah taburan hujan kurang sedikit daripada paras purata.
    
Kawasan-kawasan lain di negeri itu dijangka menerima jumlah taburan hujan pada paras purata dan keadaan itu dijangka berterusan pada April dan Mei di mana seluruh negeri itu akan menerima taburan hujan pada paras purata antara Jun hingga Ogos.
    
Bagi Sabah pula, kesan fenomena El Nino kuat yang berlaku telah mengurangkan jumlah taburan hujan di mana pada bulan ini, seluruh kawasan akan mengalami keadaan cuaca kering dengan jumlah taburan hujan di bawah paras purata.
    
Pada April pula, kawasan Kudat dan Sandakan dijangka menerima jumlah taburan hujan kurang sedikit daripada paras purata, manakala kawasan-kawasan lain dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata.
    
Untuk tempoh jangkaan Mei sehingga Ogos 2016 pula, seluruh negeri Sabah dijangka akan menerima jumlah taburan hujan pada paras purata. - Bernama

Share on Myspace