Usul PAS tangani krisis dengan Indonesia ditolak

HARAKAHDAILY | .

USUL PAS UNTUK TANGANI KRISIS POLITIK DENGAN INDONESIA DITOLAK OLEH DEWAN RAKYAT (13 MAC 1963)

PADA hari ini dalam tahun 1963, Dewan Rakyat telah menolak usul yang dikemukakan oleh PAS yang mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) supaya krisis politik antara Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara aman, dan jika perlu dirujuk kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Usul yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut) ini berbunyi "bahawa bagi kepentingan kebijakan politik dan ketenteraman hidup negara dan rakyat PTM, Dewan (Rakyat) ini menetapkan bahawa kerajaan dan rakyat PTM hendaklah menjalankan ikhtiar-ikhtiar yang aman dan damai di dalam perhubungan-perhubungannya dengan negara tetangga dan sekiranya ada ketegangan-ketegangan yang meruncing hendaklah Kerajaan PTM mengadu hal ini kepada PBB bagi penyelesaian secara damai".

Isu ini telah merebak ekoran cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pada 27 Mei 1961. PAS yang menentang penubuhan Malaysia dan mencadangkan Melayu Raya telah menerima pelbagai tuduhan yang berbau anti Malaysia.

Dalam masa yang sama, Indonesia telah melancarkan konfrantasi sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 3 September 1964 berakhir dengan perjanjian antara kedua-dua negara pada 11 Ogos 1966.

PAS yang mengambil sikap menolak sebarang bentuk kekerasan dalam hubungan dengan negara jiran, mahukan semua pertikaian kedua-dua negara diselesaikan secara damai.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 15-16 Februari 1963 telah mengambil pendirian supaya satu usul dikemukakan kepada Dewan Rakyat agar pertikaian ini diselesaikan secara damai dan sekiranya ia tidak dapat diselesaikan, ia harus dirujuk ke PBB sebagai jalan penyelesaian damai.

Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengemukakan usul ini di Dewan Rakyat pada 11 Mac 1963 dan dibahas sebagai sokongan oleh lima ahli Parlimen PAS iaitu Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh), Khadijah Sidek (Dungun), Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir), Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimin Mat Saman (Kota Bharu Hulu) pada 12-13 Mac 1963.

Oleh kerana Perikatan mahu memanipulasikan isu konfrantasi ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1964 dengan menuduh pemimpin PAS sebagai pengkhianat negara, melakukan kegiatan subversif yang ditaja Indonesia dan bekerjasama dengan Indonesia untuk melancarkan konfrantasi terhadap negara, maka pada 13 Mac 1963, Dewan Rakyat telah menolak usul ini dengan undian yang menyebabkan isu ini berpanjangan sehingga selepas Pilihan Raya Umum 1964. Ia hanya berakhir dengan perjanjian pada 11 Ogos 1966 antara kedua-dua negara.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 13/3/2016

Share on Myspace