Pekerja asing: Zahid mesti kota apa yang dikata

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa muktamad kerajaan tidak akan mengambil 1.5 juta pekerja Bangladesh.   

"Kita mengharapkan supaya TPM kota apa yang dikata," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, kenyataan itu jangan kerana hanya untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak tidak berapa lama lagi atau untuk menyejukkan keadaan yang dimarah oleh berbagai pihak terutama kesatuan sekerja dan media sosial ketika pengangguran dan pembuangan kerja dalam kalangan penduduk tempatan semakin serius.  

Beliau berkata, satu ketegasan mesti dibuat oleh kerajaan mengenai pekerja asing.

Menurutnya, memandangkan banyak sektor yang boleh melibatkan orang tempatan kecuali di sektor 3D (kotor, bahaya dan susah), maka kerajaan tidak perlu lagi kepada tenaga buruh asing.

Tambahnya, mereka perlu dihantar balik ke negara mereka dan ditempatkan penduduk tempatan di sektor tersebut.

"Rakyat mahu ketegasan dan penjelasan tentang status perjanjian persefahaman (MoU) Bangladesh dan Malaysia pada pertengahan Februari 2016  untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun," ujarnya lagi.

Katanya, perjanjian ditandatangani di Dhaka antara Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh Nurul Islam.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian itu, mekanisme penghantaran pekerja akan dibuat berdasarkan sistem G2G Plus.

"Apakah MoU itu terbatal begitu sahaja? Apa reaksi di pihak kerajaan Bangladesh.

"Apakah kerajaan dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi kerana membatalkan MoU ini?" tanya Ahli Parlimen Bukit Gantang itu. - HARAKAHDAILY 13/3/2016

Share on Myspace