Ada anak perantau terkorban dalam perjalanan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam ucapan takziah kepada dua keluarga yang terbabit kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan lapan kematian kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi berkata saban tahun berita kemalangan jalan raya diterima membabitkan anak-anak perantau yang mahu pulang ke kampung.

“Berdebar-debar setiap kali anak-anak mahu pulang menemui ibu bapa dan  keluarga di kampung. Inilah yang sering kita dengar.  

“Ini juga menggambarkan kecaknaan anak-anak perantau yang mahu bertemu ibu bapa dan keluarga di Kelantan sehingga ada kalangan mereka terkorban dalam perjalanan,” katanya di sini.

Hari ini akhbar melaporkan empat sekeluarga maut dalam kemalangan di Km 106 Jalan Kuantan-Segamat ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Kota Bharu.

Mereka tinggal di Merlimau Melaka mahu pulang ke Kampung Demit Kubang Kerian sempena cuti persekolahan.

Oleh itu Mumtaz menasihatkan pengguna jalan raya yang bakal membuat  perjalanan supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

“Mulakan perjalanan dengan solat hajat dan doa. Periksalah kenderaan dan ambillah semua langkah-langkah keselamatan. Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi dan selamat kembali,” ujarnya.

Beliau juga meminta rakyat Kelantan memanjatkan doa supaya mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya mendapat kerahmatan sehingga ke akhirat.

“Takziah buat ahli keluarga mereka dan hanya kesabaran adalah penawar yang terbaik. Allahu Akbar,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 13/3/2016

Share on Myspace