Kenapa kabinet tidak peduli suara petani sawah?

HARAKAHDAILY | .

TERAS Pengupayaan Melayu (Teras) kesal sehingga hari ini nampaknya rintihan pesawah Mada yang disunguti beberapa hari kebelakangani in tidak diendahkan oleh para Menteri Kabinet.

Dalam keadaan potongan padi basah yang di adu mencecah 25-26% petani sawah di kawasan Mada merasai keperitan untuk meneruskan usaha menghasilkan padi kerana pendapatan mereka terjejas akibat kos sara hidup yang meningkat.

Untuk meneruskan usaha mereka menghasilkan padi, mereka mempunyai asas yang kuat kenapa menuntut potongan padi basah dihadkan kepada 17 % sahaja.

Selain berhadapan dengan pendapatan yang rendah, petani juga resah dengan sistem pengairan Mada yang sudah semikian lama tidak diperbaharui sehingga menjejaskan pengeluaran petani Mada. Limpahan air hujan yang tidak dapat dialirkan ke dalam sungai menyebabkan beberapa kawasan Mada pernah dilaporkan ditenggalami air dan menjejaskan jadual menabur padi.

Belum diambilkira lagi kos input pertanian (benih, baja, racun, jentera) yang meningkat menyebabkan hasil padi yang diperoleh tidak dapat menampung kos pengeluaran dan perbelanjaan harian yang ditanggung oleh petani.

Keresahan petani Mada pernah diutarakan sebagai berikut: sistem saliran tidak sempurna, ketiadaan sumber bekalan air yang mencukupi, serangan penyakit, ancaman makhluk perosak, padi angin, kemarau, banjir  tanah jerlus.

Kami juga mengambil perhatian berat kepada isu pengswastaan dan monopoli Bernas sehingga sejak LPN dibubarkan kilang padi Melayu telah berkurangan dari 196 buah kepada kini tinggal hanya 23 buah sahaja.

Malangnya sehingga kini langkah yang konkrit yang diharapkan dari kerajaan masih tidak diambil untuk mengatasi semua isu yang dibangkitkan oleh pesawah.

Ini belum ditambah lagi dengan isu pengambilan tanah sawah untuk pembangunan perubahan, perbandaran serta infrastruktur kerana tidak ada undang-undang khusus untuk mengawal tukar syarat tanah sawah kepada pembangunan sektor lain.

Kami amat kesal seolah suara petani sawah yang mengeluarkan makanan asas kepada negara tidak dilhat penting untuk didengari oleh kerajaan. Padahal nilai hasil padi yang dikeluarkan oleh petani sawah dalam negara mencecah lebih RM 4 bilion setahun.

Usaha petani Mada berhimpun di Air Itam Jerlun Kedah baru-baru ini sendiri adalah isyarat petani tidak lagi dapat bertahan jika kerajaan tidak mahu mengambil langkah  sewajarnya. Sayangnya persepsi negatif dari pihak tertentu telah menyebarkan pesanan supaya petani-petani Mada kawasan tidak hadhir dalam Perhimpunan pesawah Mada yang diadakan itu.

Teras mengesa agar kerajaan segera memberi respon sewajarnya terhadap tuntutan pesawah. Ini adalah isu sekuriti makanan negara. Jika kerajaan tidak peka dengan nasib petani sawah itu bermakna kerajaan mendedahkan negara kepada bahaya krisis makanan yang bahaya.

Jangan sampai petani sawah berasa bahawa kerajaan tidak mahu memberi perhatian kepada nasib pengusaha padi negara berbanding dengan menyelamatkan projek mega yang menjaga kepentingan segelintir ahli korporat.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
President Teras Pengupayaan MelayuHARAKAHDAILY 13/3/2016

Share on Myspace