Felda beli bilik asrama RM829,894 seunit

HARAKAHDAILY | .

Ketika peneroka Felda berhadapan dengan kejatuhan harga komoditi sawit dan getah, Pengerusi Felda dengan bangga mengumumkan projek penerokaan dalam segmen penginapan di luar negara melibatkan kos RM373.4 juta.

Bilik yang berharga hampir RM1 juta didakwa mampu membawa Felda mencapai matlamat menambah pendapatan kepada syarikat dalam langkah strategik Felda melalui Felda Investment Corporation (FIC) untuk mempelbagaikan asetnya dan didakwa akan memberi manfaat pulangan pelaburan kepada peneroka.

Kami, PAS bimbang pelaburan segmen penginapan di London ini menerima nasib yang sama seperti kilang  pemerosesan dan penghancuran bijian TRT-ETGO di Quebec Kanada, yang dimiliki Felda (FGV) sejak 2007 dan dijual dengan harga yang tidak munasabah.

Penjualan TRT menimbulkan tanda tanya rakyat Malaysia dan peneroka Felda, apabila Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah mengumumkan penjualannya pada Ogos tahun lalu.

Terdapat pembida yang menawarkan harga hampir RM1 bilion seperti dilaporkan oleh Bloomberg, tetapi FGV menjualnya dengan harga RM600.2 juta sahaja dan mendakwa FGV memperolehi keuntungan RM65 juta daripada penjualan ini.

Apa yang menimbulkan kecurigaan penjualan ini lagi, pihak sumber lain melaporkan pelaburan ke atas kilang ini mencecah RM1.25 bilion setakat akuan berakhir 31 Disember 2010.

FGV tidak pernah mengedarkan akaun untung rugi TRT-ETGO ini kepada awam dan peneroka Felda. Lebih mengejutkan ada sumber dalaman mendakwa kerugian penjualan TRT ini mencecah RM800 juta.

Berdasarkan perkembangan inilah, kami PAS merasakan pelaburan segmen penginapan di Wembley ini akan menjadi satu lagi projek untuk kepentingan mereka yang rapat dengan Pengerusi Felda.

Kita juga  bimbang mereka mempunyai agenda tersendiri dengan mewujudkan cabang pelaburan di luar negara yang melibatkan jumlah pelaburan yang besar ketika pentadbiran pengurusan berkaitan tanam semula ladang Felda menghadapi masalah kelewatan.

Apakah Felda tidak mengambil pengajaran dari kegagalan Projek Felda Carviartive Blue Dream Part di Kuala Tahan yang melibatkan kos projek RM135 juta?

Kita bimbang budaya boros dan tidak berhemah terus menjadi amalan Felda di bawah pentabiran pengerusinya Tan Sri Isa Abdul Samad, akan terus menjahanamkan Felda sejak kebelakangan ini. Kejatuhan harga saham FGV di BSKL seakan dilupakan peneroka dan rakyat Malaysia.

Oleh itu kami mengulangi gesaan agar Tan Sri Isa Samad disingkirkan dari Felda dan kerajaan perlu melantik seorang tokoh yang bebas dari politik untuk terus memacu Felda menghadapi cabaran global.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS
13 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 13/3/2016

Share on Myspace