Sejarah: Gerakan revolusi biakkan fitnah terhadap MB

HARAKAHDAILY | .

GERAKAN REVOLUSI 14 MAC DILANCAR UNTUK BIAKKAN FITNAH TERHADAP MENTERI BESAR (14 MAC 1974)

PADA hari ini dalam tahun 1974, Yang Dipertua  PAS Cawangan Pasir Mas, Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah telah melancarkan Gerakan Revolusi 14 Mac 1974 yang kononnya bertujuan untuk mendesak Menteri Besar Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar supaya meletakkan jawatan atas beberapa tuduhan yang didakwakan.

Mereka mendakwa Dato' Ishak Lotfi melakukan penyelewengan dalam urusan balak, lemah dalam mentadbir kerajaan, korup, gagal meningkatkan syiar Islam dan beberapa tuduhan lain berkait penyelewengan, tetapi tidak dapat membuktikannya di mahkamah.

Gerakan ini dikatakan tidak bertujuan untuk menumbangkan PAS, tetapi untuk menumbangkan tokoh-tokoh tertentu terutama Menteri Besar dan beberapa individu dalam PAS Kelantan.

Pergolakan dalam politik Kelantan ini mulai berlaku semenjak PAS membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973 dan Dato' Ishak Lotfi menjadi Menteri Besar semula menggantikan Dato' Mohd Asri Haji Muda.

Serangan fitnah ini bermula dengan pelancaran Gerakan Revolusi 14 Mac di Pasir Mas, diikuti oleh Gerakan Revolusi 20 Mac di Machang oleh Haji Mohd Yusof Nor serta desakan Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 16 Mac 1974 dan PAS Cawangan Pasir Mas Hilir pada 29 Mac  1974 yang bertujuan mendesakkan Dato' Ishak Lotfi meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

PAS Kelantan dalam menangani gerakan ini, pada 30 Mac 1974 telah mengeluarkan satu siaran khas untuk menjawab semua fitnah dan tuduhan terhadap pimpinan PAS Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan yang bertajuk "Menghapuskan Kekeliruan di Sekitar Tuduhan-tuduhan dan Fitnah-fitnah Terhadap Pemimpin dan Tokoh-tokoh PAS di Kelantan".

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pula pada 30 Mei 1974 telah menggantung PAS Cawangan Pasir Mas Hilir yang menjadi dalang fitnah ini, diikuti tindakan disiplin ke atas Cikgu Ahmad Fakharuddin, Daud Yatimee Ahmad, Hussin Yaakub dan Yusof ISA dengan memecat keahlian mereka pada 9 Jun 1974.

Kesan daripada tindakan tegas PAS ini, Gerakan Revolusi 14 Mac telah mengumpulkan semua pihak dalam PAS yang tidak berpuas hati dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda termasuk Ustaz Amaluddin Darus dan Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk menentang PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974, Gerakan Revolusi 14 Mac telah bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dun untuk menentang PAS atas nama Barisan Bebas Bersatu (BBB), tetapi tewas semuanya.

Mereka kemudian bergabung membentuk parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) pada 1975, sebelum bergabung dengan kumpulan Dato' Mohamed Nasir, Parti Progresif Islam (PPI) bagi menubuhkan Barisan Jamaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) pada 1977.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
14 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 14/3/2016

Share on Myspace