Tidak hirau notis punca kontena diroboh

M ZIN | .

TANAH MERAH: Lebih dua bulan lepas Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) menghantar notis supaya memindahkan atau meroboh kontena yang diletak di taman permainan di Taman Barakah, namun ia tidak dihiraukan.

Notis 30 hari tidak dihirau pihak yang bertanggungjawab ke atas kontena itu. Kemudian disusuli pula surat merah, surat putih dan akhirnya dipasang pita.

Seorang penduduk mendakwa surat yang dihantar MDTM seperti tidak dihiraukan, manakala pita dipasang dicabut pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya pun hairan bagaimana seorang pemimpin cawangan Umno di sini mendakwa kontena itu sebagai dewan permainan.

“Kontena itu yang mahu dijadikan gelanggang ping pong tidak sesuai kerana di sini taman rehlah dan bukannya tempat bersukan,” katanya di sini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan penduduk di Taman Barakah berputih mata selepas gagal mempertahankan sebuah dewan permainan yang diroboh MDTM.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk taman terbabit Salji Mat Nor dilapor mendakwa dewan itu dibina bersebelahan taman permainan Taman Barakah atas permintaan penduduk.

Seorang lagi penduduk Mohd Shafei, 61 berkata kontena tersebut merupakan projek politik anggota parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisyam Abdul Aziz.

“Kami pun pelik mengapa pemimpin Umno letak kontena di tengah-tengah taman permainan. Ini bukan kompleks sukan.

“Wajar sekali MDTM merobohnya kerana ia mengganggu laluan di taman tersebut. Tidak berbangkit penduduk di sini berputih mata seperti disebut pemimpin Umno,” katanya di sini.

Khamis lepas MDTM dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian serta polis melakukan kerja-kerja meroboh kontena tersebut kerana membina tanpa kebenaran di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. - HARAKAHDAILY 14/3/2016

Share on Myspace