​Lebih 800,000 rakyat Malaysia disenarai hitam sejak 2011

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Seramai 827,921 orang warganegara tempatan telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sejak 2011 sehingga sekarang.
    
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) memaklumkan 200,727 orang disenarai hitam atas kesalahan bankrap; 118,892 orang atas kesalahan pinjaman pendidikan; 520 orang atas kesalahan keselamatan dan 507,782 atas kesalahan-kesalahan lain.
    
"Semua yang disenaraihitamkan adalah dilarang daripada meninggalkan negara kecuali mereka mendapat kebenaran pihak berkuasa yang berkenaan dengan kesalahan yang dimaksudkan," menurut KDN dalam jawapan yang diedarkan di lobi Parlimen, di sini hari ini.
    
Er meminta penjelasan berhubung bilangan warganegara yang disenaraihitamkan dan dilarang daripada meninggalkan negara sejak 2011. - Bernama

Share on Myspace