Pemerintah mesti tunai empat perkara

USTAZ NASRUDIN HASSAN | .

SAYA mengambil kesempatan untuk ucap terima kasih ke atas Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah disempurnakan pada hari pembukaan Dewan tempoh hari yang mana pasti sahaja banyak perkara yang boleh kita bincang dan boleh kita bahas di sepanjang sidang ini untuk kepentingan dan kebaikan bersama.

Apa yang saya minta ialah supaya apa sahaja yang kita ungkapkan ataupun kita bahaskan dalam bentuk pandangan, kritikan atau nasihat, maka hendaklah ia dijadikan sebagai satu - terutama daripada pihak pembangkanglah - sebagai satu check and balance. Jangan apabila kami daripada rakan-rakan pembangkang mengemukakan pandangan dan juga mengkritik ataupun menegur pihak kerajaan, maka itu ditelaah sebagai mempolitikkan sesuatu perkara sedangkan inilah ruang untuk kita mengambil bahagian dalam memberikan teguran ataupun nasihat.

saya memulakan ucap bahas saya ini dengan Firman Allah SWT; Surah Al-Haj Ayat 41. Maksudnya, orang-orang yang diberikan kuasa, orang-orang yang diberikan kesempatan untuk memerintah ataupun berkuasa di atas bumi ini, mereka mempunyai empat perkara yang mesti mereka tunaikan, iaitu yang pertama, mendirikan sembahyang; kedua, mengeluarkan zakat; ketiga, menegakkan yang makruf; dan yang keempat, mencegah kemungkaran.

Yang pertama mendirikan sembahyang. Mendirikan sembahyang ini asasnya rukuk dan sujud iaitu tunduk dan patuh, taat kepada Allah SWT. Dalam ayat ini, difokuskan kepada mereka yang berkuasa, orang-orang yang memerintah, orang-orang yang mempunyai kesempatan berkuasa, diberikan mandat untuk berkuasa. Maka, bukan sahaja individunya sembahyang rukuk dan sujud tetapi kerajaan itu sendiri juga mesti rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Ertinya, mesti taat dan mesti patuh kepada Allah SWT.

Dalam erti kata lain, pentadbiran, pemerintahan, pengurusan, pelaksanaan dasar dan sistem, rang undang-undang yang hendak dibentangkan dan diluluskan di Parlimen ini mestilah ia dalam frame ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Sebab itu kita diajar... [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Kemudian Kami telah jadikan engkau atas syariat ini daripada segala urusan yang kamu laksanakan. Maka hendaklah kamu ikut syariat Allah SWT dan jangan sekali-kali mengikut hawa nafsu mereka yang tidak mengerti.” Itu yang pertama, asas yang perlu dilaksanakan oleh mereka yang berkuasa.

Kedua ialah mengeluarkan zakat dan mengagihkan zakat seluas-luasnya dan juga secara saksama. Ini merupakan satu sistem ekonomi yang saya kira mampu untuk mencipta kitaran ekonomi yang mampan dan juga seimbang dalam negara kita yang mana ia juga adalah adil dan memuaskan semua pihak. Meletakkan orang yang kaya, orang yang memiliki harta, menginfakkan, mengeluarkan harta mereka pada kadar yang tertentu kepada pihak-pihak tertentu yang memerlukan sebagaimana yang telah disenaraikan dalam asnaf yang lapan yang termaktub dalam Al-Quran Nul karim.

Pelaksanaan sistem zakat ini sebenarnya boleh kita perluaskan kepada semua termasuklah juga kepada non-muslim dengan kita menetapkan kadar yang serupa iaitu pada 2.5 peratus diambil daripada harta simpanan sebagai top of saving yang mana ini pernah saya cadangkan dalam sesi yang lalu di Parlimen ini bagi menggantikan pelaksanaan GST yang kita lihat GST sebagai cukai yang dikenakan kepada semua pihak termasuk orang-orang miskin sehingga orang-orang miskin dalam negara kita ini berasa tertekan sementara dengan kos sara hidup, peningkatan harga barang dan seumpamanya, ditambah pula dengan
cukai GST ini.

Jadi kalau kita mengambil kaedah cukai pada simpanan ini kepada mereka yang memiliki harta, yang memiliki kekayaan dikenakan pada cukai pada kadar tertentu, maka ia adalah lebih baik, lebih adil dan lebih saksama dan apa yang paling penting ialah tidak ada elemen penindasan kepada mereka yang tidak berkeupayaan. Itu yang kedua.

Kemudian yang ketiga ialah amar makruf ataupun...[Berucap dalam Bahasa Arab] Iaitu menguatkuasakan amal kebajikan dan juga melaksanakan syariat Islam yang mana saya minta supaya pihak kerajaan, pihak yang berkuasa supaya serius, sebagaimana awal yang saya sebut tadi, supaya kita tidak terlalu berpolitik ataupun tidak teragak-agak untuk kita melaksanakan apa yang disebut sebagai syariat Islam ataupun amal kebajikan yang telah pun diajar oleh agama kepada kita.

Malah, apa yang menarik dalam Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dapat melihat bagaimana Yang di-Pertuan Agong juga telah memberikan sokongan yang penuh kepada inisiatif untuk mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan dalam masa yang sama, agama yang lain dalam negara kita ini boleh diamalkan secara bebas dan damai dalam negara kita.

Termasuklah juga sokongan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memperkasakan mahkamah syariah yang saya lihat tentu sahaja ia dapat dilunaskan dengan kita mempertingkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dalam negara kita ini yang setakat ini kalau kita lihat, bidang kuasa mahkamah syariah hanya terhad kepada ‘tiga, lima, enam’ iaitu tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Bidang kuasa mahkamah syariah ini perlu dipertingkatkan supaya dilihat lebih efektif terutamanya supaya dia mematuhi dan menepati kehendak syariat itu sendiri. Ini kerana kita tidak ada pilihan yang lain melainkan apa pun keadaan, kita mestilah... [Berucap dalam Bahasa Arab] Mengikut syariat yang telah ditentukan, ditetapkan oleh Allah SWT.

Kemudian perkara yang keempat ialah... [Berucap dalam Bahasa Arab] Ataupun nahi mungkar, mencegah kemungkaran ataupun kerosakan di atas tanah air kita. Saya hendak menekankan, sebagaimana seriusnya pihak kerajaan menangani gejala militan ataupun budaya pemikiran militan dalam negara kita, maka demikian juga selayaknya pihak kerajaan serius untuk menangani kemungkaran-kemungkaran yang berlaku dalam negara kita, membasmi segala bentuk dan segala kategori kemungkaran yang berlaku dalam negara kita. Kita kena ingat bahawa kemungkaran ini bukan sekadar pada perkataan khalwat, zina, dedah aurat semata-mata sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan, tetapi kemungkaran itu adalah suatu yang lebih luas dalam semua perkara, dalam ekonomi, dalam politik, dalam sosial apabila perkara-perkara itu bertentangan dengan syarak ataupun bertentangan dengan syariat Islam.

Jadi, pihak penguatkuasaan ataupun pihak kerajaan, pihak yang berkaitan, sama ada Kerajaan Pusat ataupun kerajaan negeri mestilah serius untuk mencegah kemungkaran ini.

Terutamanya kalau kita lihat, kemungkaran dalam ekonomi ialah rasuah. Rasuah yang semakin hari semakin berleluasa, semakin hari semakin meningkat dan indeks rasuah sangat membimbangkan. Sedangkan, negara kita rata-ratanya daripada pemimpin sampailah kepada anggota-anggota kabinetnya dan juga Ahli-ahli Parlimen, rata-ratanya ialah mereka yang beragama Islam. Kemudian, agama Islam agama rasmi dan sementara rasuah itu juga adalah suatu yang ditentang oleh semua pihak tanpa kira agama kerana ini adalah merupakan satu mungkar, satu jenayah yang ditolak, yang merosakkan tamadun, yang meruntuhkan negara kita.

Termasuklah juga penyalahgunaan kuasa dan juga jenayah-jenayah lain seperti judi, pelacuran dan seumpamanya yang mesti ditangani secara berkesan.

Baik, itu empat perkara daripada ayat yang saya jadikan sebagai mukadimah ucapan saya pada kesempatan ini.

Saya ada beberapa isu ingin diutarakan pada kesempatan ini sehubungan dengan saranan yang dikemukakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Baginda yang mana isu yang pertama yang saya hendak sebut di sini ialah berkaitan dengan usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara. Saya kira ini adalah suatu yang perlu diberikan perhatian dan tentu sahaja isu yang hangat mutakhir ini ialah berkait dengan program pelaksanaan dwibahasa ataupun dual language programme atau DLP yang mana isu DLP ini telah mendapat liputan meluas daripada media dalam negara kita berikutan diumumkan bahawa tahun ini, tahun 2016 merupakan tahun projek rintis DLP yang dilaksanakan pada 300 buah sekolah menengah dan juga sekolah rendah di seluruh negara.

Kita tahu bahawa DLP ini adalah suatu yang dijadikan sebagai gelombang kedua bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang melibatkan RM38.5 juta.

Jadi pelaksanaan ini melibatkan Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi yang mana ia akan dijalankan dengan menggunakan bahasa Inggeris bagi projek rintis di 300 buah sekolah yang saya sebutkan tadi.

Walaupun DLP ini disebut bahawa bersifat pilihan, tetapi apa yang membimbangkan kita, yang menjadi perbahasan umumnya ialah ia akan nantinya wujud apa yang disebut sebagai dualisme dalam sistem pendidikan negara. Nanti ada sekolah yang menggunakan bahasa Malaysia, bahasa ibunda dan ada sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris dan tentunya secara umum akan dilihat sekolah-sekolah bandar, mereka akan lebih memilih menggunakan bahasa Inggeris dan mungkin sekolah-sekolah di pedalaman atau pun di kampung-kampung yang tidak mempunyai kemudahan, prasarana yang cukup, kemahiran yang baik, mereka akan memilih bahasa ibunda.

Jadi kaedah ini akhirnya akan mewujudkan dualisme dalam sistem pendidikan negara dan ini kembali pada era 70-an yang lalu atau pun kembali ke belakang. Ini adalah suatu yang tidak baik sebenarnya untuk peningkatan sistem pendidikan dalam negara kita dan lebih malang lagi bahasa Melayu akan kekal menjadi bahasa kelas kedua, tidak dipilih oleh peringkat yang lebih maju ke hadapan, di peringkat nasional dan juga di peringkat antarabangsa. Jadi secara tidak langsungnya Tuan Yang di-Pertua, ini juga akan melebarkan kesenjangan sosioekonomi antara bandar dan juga luar bandar.

DLP ini umumnya memang kita tahu bahawa ini adalah merupakan jelmaan semula kepada PPSMI yang telah pun diperkenalkan tahun 2003 yang lalu dan kemudiannya dimansuhkan pada tahun 2009. Dimansuhkan itu setelah ia terbukti gagal dalam pelaksanaan. Terbukti gagal. Sebab kalau kita lihat pada kajian yang dibuat, dia ada dua fasa kajian yang saya dimaklumkan dan kita pun boleh lihat pada data kajian tersebut. Kajian fasa pertama ialah kesan dasar PPSMI ini yang mana penggunaan bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik memang melemahkan pembelajaran dan juga prestasi pelajar dalam negara kita yang mana disebut sini ialah 75 peratus pelajar sukar untuk memahami Matematik dan Sains
menggunakan bahasa Inggeris.

Kemudian 10 hingga 15 peratus sahaja guru yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya kerana masalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam subjek yang berkenaan. Itu kajian yang pertama. Kajian fasa kedua, kesan dasar PPSMI ini di sekolah menegah dan juga rendah sebagaimana yang dikemukakan oleh pihak pengkaji yang diketuai oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron daripada UPSI yang mana jelas conclusionnya atau pun kesimpulannya ialah dasar PPSMI itu adalah gagal kerana 10 hingga 12 peratus sahaja guru-guru yang menggunakan bahasa Inggeris ini dalam dasar PPSMI tadi.

Kemudian hanya 6.2 peratus murid tahun lima berasa selesa dengan PPSMI dan hanya 11.8 peratus murid Tingkatan 2 rasa selesa dengan dasar PPSMI. Ertinya, ini gagal. Jadi apabila gagal, kemudian dijelmakan dengan nama baru tetapi dalam konsep yang hampir serupa dan ini sekali lagi saya bimbang dia akan menjurus kepada kegagalan yang sama. Tuan Yang di-Pertua, forum pendidikan antarabangsa yang melibatkan UNESCO dan juga World Declaration on Education for All (EFA) dan lain-lain turut menekankan pentingnya pendidikan pelajar menggunakan bahasa ibunda walaupun apa sahaja subjek yang diajarkan.

Jadi apa pun alasan yang dikemukakan oleh kerajaan, mengenai dengan pelaksanaan DLP ini, antaranya disebut kerana kegagalan pelajar-pelajar atau graduan-graduan menguasai bahasa Inggeris sehingga membawa kepada faktor pengangguran yang banyak dalam negara kita. Saya kira alasan seperti ini satu alasan yang tidak berasas. Pengangguran bukan kerana kegagalan untuk menguasai bahasa Inggeris, terlalu banyak lambakan pengangguran di luar dalam banyak faktor antaranya ialah peluang pekerjaan yang sangat sukar untuk mereka miliki.

Baik, jadi apa yang saya lihat sekarang ini ialah DLP ini ibarat ubat untuk merawat penyakit yang tak kena dengan ubat yang diberikan. Sakitnya lain tetapi ubat yang diberikan adalah lain. Kalau faktor bahasa Inggeris yang menjadi isu, kenapakah tidak mempertingkatkan pengajian bahasa Inggeris itu sendiri? Kenapa harus menyasarkan Matematik, Sains dan lain-lain subjek untuk digunakan pengajian, pembelajarannya dalam bahasa Inggeris yang akhirnya menyukarkan pelajar untuk menguasai subjek tersebut.

Satu lagi saya lihat Kementerian Pendidikan ini selalu sahaja, sering sahaja terburu-buru dan tergesa-gesa dalam membuat satu-satu dasar dan juga satu-satu polisi. Selain daripada PPSMI yang saya sebutkan tadi, kita juga kalau kita ingat tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akhirnya tukar kepada PT3, Pentaksiran Tingkatan 3.

Jadi, dia beralih, bertukar dalam tempoh yang singkat, mengorbankan wang yang begitu banyak, memeningkan pelajar dan guru dalam perubahan sistem dalam tempoh masa yang dekat. Jadi ini banyak perkara yang akhirnya mengganggu dan tidak memberikan kesan yang positif kepada pendidikan dalam negara kita. Jadi apa yang mahu saya tegaskan di sini, Tuan Yang di-Pertua, dalam Dewan yang Mulia ini, janganlah akhirnya nanti sampai orang mendakwa bahawa perkara-perkara macam ini, dasar dan juga polisi seperti ini hanyalah kerajaan hendak create satu projek yang hendak diberikan kepada orang-orang tertentu atau pun rakan-rakan, kroni-kroni tertentu sahaja yang akhirnya akan memberikan imej yang salah dan buruk kepada kerajaan sendiri. Jadi, oleh sebab itu saya mencadangkan di sini supaya pihak kerajaan tarik baliklah pelaksanaan DLP ini, insya-Allah.

Isu kedua yang saya angkat pada kesempatan ini ialah berkait dengan saranan dan juga penegasan daripada Yang Dipertuan Agong untuk kita mengamalkan satu yang disebut sebagai budaya politik yang sihat dan aspirasi politik yang bermanfaat kepada rakyat keseluruhannya yang mana saya lihat ini adalah merupakan satu prinsip yang mesti menjadi tonggak utama dalam pemerintahan dan juga pentadbiran kerajaan negara kita. Setiap peringkat, bermula dari pusat kemudian sampai ke negeri dan sampai kepada kerajaan tempatan.

Budaya politik sihat dan bermanfaat ini sebenarnya mempunyai beberapa ciri-ciri yang tersendiri, dan juga pendekatan yang tersendiri. Antaranya ciri-ciri yang boleh saya utarakan di sini ialah konsep sama rata. Konsep sama rata kepada rakyat yang diberikan kepada pihak kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan juga sikap matang kerajaan dalam berpolitik untuk mengurus pentadbiran dan pemerintahannya.

Malangnya hari ini saya lihat suatu yang menyebabkan kita sangat terkilan dalam amalan politik tanah air. Masih ada lagi politik pilih bulu, politik tindas, politik membalas dendam. Sebagai contoh mudahlah saya sebut di sini, sehari dua baru ini, kecoh negara kita, viral satu print screen, bagaimana ada guru sekolah. Dihantar dalam satu group, diminta supaya ambil tindakan, catat nama mana-mana guru yang pro pembangkang, hantar kepada mereka, guru mana, sekolah mana, subjek apa yang diajar, hantar kepada dia atau pun hantar kepada pejabat DUN untuk pejabat DUN mengambil tindakan kepada pihak yang propembangkang ini.

Jadi ini satu contoh yang sangat memalukanlah dalam kita berpolitik pada hari ini, dia adalah merupakan satu yang sangat mengaibkan negara kita.

Saya mengharapkan sungguh-sungguh supaya kita setelah mencecah usia 60 tahun negara kita merdeka, pula dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam ucapannya supaya kita mengamalkan politik yang sihat, yang matang ini supaya kita hentikan perkara-perkara yang seperti ini. Saya tidak pastilah apakah ini terhenti pada DUN yang terbabit, di peringkat DUN terbabit ataupun dia ada arahan dari atas. Saya harap tidak begitulah dalam kita menganjak politik maju, politik moden pada hari ini.

Jadi apa yang saya hendak tegaskan di sini ialah apa yang berlaku ini sangat bertentangan dengan budaya politik matang dan sejahtera dan juga bertentangan dengan politik sihat yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Tuan Yang di-Pertua, kisah guru dan juga penjawat awam yang sokong pembangkang yang akhirnya ditukar ke pendalaman, diambil tindakan. Ini sebenarnya sudah menjadi satu sejarah hitam dalam politik tanah air kita dan budaya seperti ini sebagaimana saya sebutkan tadi sangat-sangat tidak selayaknya berlaku tapi malanglah kalau masih ada. Zaman moden pada hari ini kita masih lagi mahu mengamalkan amalan politik purba yang seperti ini.

Ini saya lihat ia berlaku dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Termasuklah juga politik pilih bulu ini yang dalam memberi bantuan sebagai contoh kepada pihak yang memerlukan.

Kadang-kadang dipilih colour, dia pilih parti hendak bagi bantuan. Kalau colour itu PAS, hijau, maknanya sukar untuk mendapat bantuan. Ini saya sebut ini apa yang berlaku di Temerloh sebagai contoh di kawasan yang saya wakili. Berapa kalilah saya dengan pegawai-pegawai saya panjat ke jabatan-jabatan, panjat kepada pihak kementerian supaya menghulurkan bantuan umpamanya berlakunya jalan rosak, hakisan tebing yang berlaku di tepi-tepi Sungai Semantan, kotornya Sungai Pahang sehingga menjejaskan nelayan-nelayan sungai sehingga kekeruhan Sungai Pahang ini sangat luar biasa sehingga nelayan-nelayan sungai terancam dan mereka tidak lagi mudah untuk mencari makan.

Jadi saya bawa kes-kes ini untuk diambil pertimbangan, untuk diberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuklah bekalan anak ikan dan seumpamanya tetapi sebahagiannya tidak mendapat satu respons yang sebaiknya dan positif. Jadi inilah, saya tidak mahu ini dijadikan sebagai politik balas dendam. Ada yang menyebut oleh kerana kamu undi pembangkang, kamu pergi minta dengan pembangkang. Saya kalau sekiranya pihak kerajaan memberikan peruntukan, tidak ada masalah jawapan itu tetapi apabila kita pembangkang, tidak ada sebarang peruntukan, jadi bila jawab macam itu, yang teraniayanya, yang tertindasnya ialah rakyat itu sendiri.

Jadi sukalah saya memperingatkan perkara ini... [Membaca beberapa potong ayat Al-Quran] Bermaksud, ketahuilah kata Rasulullah SAW, setiap kamu pemimpin dan kamu nantinya akan dipertanggungjawab, akan dipersoalkan tentang kepimpinan kamu. Maka pemerintah itu, pemimpin yang diberikan amanah untuk menjaga kebajikan dan juga kesejahteraan rakyat, maka dia akan dipersoalkan di atas apa tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya.

Budaya politik sihat mesti menjadi dasar dan mesti menjadi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan di semua peringkat sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Sebagai contohlah saya hendak sebut sekali lagi, dasar kerajaan dalam aspek pengubahsuaian dan juga pemotongan bajet kerajaan dan juga merasionalisasikan subsidi.

Apabila tiba dalam bab ini saya lihat masih lagi kerajaan menyasarkan rakyat. Sebagai contoh pemotongan subsidi tepung dan lain-lain. Kenapa tidak kita mengambil langkah menyelamatkan rakyat ataupun tidak menyasarkan rakyat. Ya saya tahu slogan kerajaan ialah rakyat didahulukan, jadi jangan maksud rakyat didahulukan itu membebankan rakyat dulu. Sehingga akhirnya rakyat sentiasa menjadi tersepit dalam keadaan ini. Kenapa tidak untuk memulangkan kembali ataupun untuk menyuburkan semula potensi pertumbuhan ekonomi negara dengan kita mengamalkan sistem jimat cermat, tidak membazir, membatalkan projek-projek besar, projekprojek mewah yang tidak memberikan keuntungan kepada rakyat.

Mengamalkan langkah jimat cermat itu di peringkat pentadbiran dan pengurusan. Menamatkan ketirisan, kebocoran sebagaimana yang kita baca dalam Laporan Audit saban tahun berlaku pada kementerian, berlaku pada GLC. Ambil tindakan-tindakan itu pada jangka pendek dan jangka panjang ini dia boleh menyelesaikan tidak hanya sekadar nampak rakyat kena, rakyat kena. Kena bayar cukai, kena potong itu, kena potong ini. Sedangkan rakyat sekarang ini sedang berdepan dengan apa yang selalu kita ulang, selalu kita sebut dengan kos sara hidup yang begitu tinggi dan juga dengan tekanan kekangan ekonomi yang begitu tenat.

Jadi saya juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan kita apa yang pernah disebut oleh Saidatina Aisyah RA., dia dengar Nabi kita Muhammad SAW berdoa dalam satu doa... [Membaca sepotong doa] Bermaksud, ya Allah, siapa-siapa yang bertanggungjawab memimpin dan mengurus urusan umat ku, tiba-tiba dia menyusahkannya, dia menyusahkan umat ku, dia menyusahkan rakyatnya sendiri dalam keadaan dia pemimpin... [Menyebut dalam Bahasa Arab] Nabi doa supaya Ya Allah, Engkau susahkan balik pemimpin itu. Engkau kembalikan semula segala kesusahan yang berlaku kepada rakyat itu kepada pemimpin yang menyusahkan rakyat yang akhirnya pemimpin akan mengalami kesusahan dalam pelbagai aspek, dalam pelbagai perkara.

Kalau kita muhasabah balik kenapa pemimpin hidup dalam keadaan susah, terganggu dengan tekanan, dengan begitu hebat, hendak tidur malam pun tidak lena, diugut, diancam dan macam-macam masalah melingkari kehidupan. Kita muhasabah balik antara puncanya ialah kerana pemimpin sering kali menyusahkan rakyatnya dengan pelbagai perkara. Sebaliknya Nabi sebut, barang siapa ataupun pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan urusan umat ku, kemudian dia menyudahkan urusan itu. Maka nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya pula untuk memimpin negara, menjadikan pemimpin yang baik dan akhirnya selesa. Bukan saja di dunia tetapi juga sampailah di akhirat. – HARAKAHDAILY 14/3/2016

Petikan ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan ketika membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, Penggal Keempat, Mesyuarat Pertama, Khamis, 10 Mac 2016.

Share on Myspace