Pelarian Syria: Kerajaan masih dalam proses saringan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Bagi kemasukan migran Syria pada ketika ini, kerajaan hanya memberikan fokus kepada calon yang mempunyai penaja iaitu ahli keluarga atau waris yang telah menetap secara sah di Malaysia serta dapat membuktikan kemampuan menyediakan tempat tinggal dan kemudahan asas yang berkaitan.

Demikian dinyatakan Menteri Dalam Negeri dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nasrudin dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan keadaan terkini pelarian-pelarian Syria telah tiba di Malaysia sejak bulan Disember 2015.

Menurut menteri itu lagi, penetapan syarat melibatkan penaja ini adalah bagi memastikan kebajikan (well being) migran Syria akan terpelihara sepanjang keberadaan mereka di Malaysia.

Lanjutan dari itu, jelasnya ingin dimaklumkan bahawa kumpulan pertama bagi fasa pertama migran Syria yang terdiri dari 3 buah keluarga (11 orang) yang terdiri daripada 5 orang lelaki dewasa dan 6 orang wanita telah selamat tiba di Malaysia pada 8 Disember 2015 yang lalu telahpun bersama ahli keluarga mereka yang telahpun berada di Malaysia untuk meneruskan kehidupan sedia ada.

"Status terkini adalah kerajaan masih dalam proses tapisan atau saringan ke atas penaja dan migran Syria lain yang bakal dibawa masuk ke Malaysia kelak," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 14/3/2016

Share on Myspace