Blok politik ketiga ke arah kesejahteraan negara

HARAKAHDAILY | .

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat kewujudan blok politik ketiga yang diusahakan oleh PAS bersama parti-parti politik lain, NGO-NGO dan tokoh-tokoh perseorangan, akan lebih menyuburkan demokrasi dan memperkukuhkan sistem semak imbang dalam pentadbiran negara.

Dengan wujudnya blok politik ketiga tersebut, ia akan lebih membawa ketelusan seterusnya kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Sistem dua parti atau dalam konteks Malaysia, sistem dua blok politik, terbukti tidak menyokong sebuah pentadbiran yang telus dan kerajaan yang mengutamakan negara dan rakyat.

Blok politik BN yang menerajui Kerajaan Persekutuan telah menggunakan majoriti kerusi yang mereka perolehi di parlimen untuk meluluskan apa sahaja perundangan dan peruntukan yang mereka mahu walaupun ditentang oleh rakyat.

Demikian juga blok politik yang diketuai DAP yang mengetuai kerajaan Pulau Pinang, mereka juga menggunakan majoriti kerusi di Dun untuk meluluskan apa sahaja perundangan dan peraturan yang mereka mahu walaupun dibantah segelintir Adun mereka sendiri dan NGO-NGO yang melihat ia tidak memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Dengan perkataan lain, sistem dua blok politik akan menyebabkan mana-mana parti yang ada lebih 50% kerusi boleh bertindak sesuka hati meluluskan perundangan dan peraturan yang merugikan.

Sebaliknya, dengan adanya blok politik ketiga, kemungkinan sesebuah blok politik memperolehi lebih 50% kerusi di parlimen atau Dun selepas PRU menjadi lebih tipis.

Apabila sesebuah blok politik tidak memperolehi lebih 50% kerusi, mereka memerlukan sokongan blok politik lain untuk membentuk kerajaan.

Sesebuah kerajaan yang terdiri dari dua blok politik, menyebabkan ia tidak boleh meluluskan sesuatu perundangan dan peraturan sesuka hati.

Situasi pelbagai parti atau blok politik seperti ini semakin popular di negara-negara membangun dan terbukti mampu menjadikan sesebuah kerajaan lebih telus dan bersih.

Sebagai contohnya di Indonesia, dengan wujudnya pelbagai parti dan blok politik yang membentuk kerajaan, maka pentadbirannya lebih mengutamakan rakyat.

Prestasi negara Indonesia dalam memerangi rasuah dan salahguna kuasa semakin baik meskipun masih berada di belakang Malaysia.

PPP yakin kewujudan blok politik ketiga menggembirakan rakyat kerana mereka mempunyai banyak pilihan untuk mencorakkan kerajaan yang lebih memihak kepada mereka.

Sebaliknya kewujudan blok politik ketiga tidak menggembirakan blok-blok politik yang sedia ada kerana peluang mereka untuk memperolehi lebih 50% kerusi di parlimen dan Dun, sekaligus peluang untuk membentuk kerajaan dengan blok sendiri semakin sukar dicapai.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP)
14 Mac 2016 / 5 Jamadilakhir 1437 - HARAKAHDAILY 14/3/2016

Share on Myspace