PAS serius untuk menjadi ‘check & balance’ di Sarawak

HARAKAHDAILY | .

PAS serius di dalam  usaha untuk menjadi "check and balance" (semak dan imbang) di Sarawak.

PAS telah mengerahkan seluruh jenteranya untuk memastikan PAS dapat memenangi beberapa kerusi ADUN pada pilihan raya negeri yang dijangka berlaku pada bulan Mac atau April ini.

PAS akan bertanding pada 11 kerusi DUN dan sudah tentu bukan tujuan PAS untuk membentuk kerajaan.

Walau bagaimanapun PAS tidak akan bersekongkol dengan Barisan Nasional.

PAS akan membawa suara rakyat menentang apa sahaja penyelewengan di samping mempertahankan hal-hak rakyat Sarawak.

PAS akan bersama-sama memperjuangkan kepentingan-kepentingan anak negeri agar Sarawak dapat mencapai kemajuan setaraf dengan negeri-negeri termaju di Malaysia.

PAS juga bukan hanya sebuah parti untuk orang-orang Islam tetapi memperjuangkan nasib semua kaum di Malaysia.

Di negeri-negeri seperti Selangor, wakil-wakil rakyat PAS telah berperanan dengan cemerlang di kalangan masyarakat bukan Islam.

Wakil-wakil rakyat PAS cukup prihatin kepada isu-isu masyarakat bukan Islam seperti bahasa ibunda, pendidikan, perumahan, tanah, kebajikan dan tempat ibadat.

Oleh hal yang demikian tuduhan bahawa PAS hanya memperjuangkan nasib masyarakat Islam adalah tidak benar.

Walaupun belum menang pilihan raya, PAS Sarawak telah menjalankan usaha-usaha untuk membantu rakyat di bawah program seperti projek kemudahan awam dan ekonomi untuk rakyat.

Di atas kesungguhan ini, rakyat Sarawak wajar memberi peluang kepada PAS untuk mewakili mereka pada pilihan raya negeri kali ini.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Naib Presiden PASHARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace