KAF diwujud akibat pengaruh Umno di Felda merosot

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Umno terpaksa mewujudkan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Felda bagi mengimbangi pengaruh PAS yang semakin melebar.

Timbalan Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Gerasi) Naraza Muda berkata pelancaran Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) semalam dianggap sebagai misi mempertahankan pengaruh Umno di kawasan Felda.

Katanya terdapat 54 kawasan parlimen di negara ini yang terletak di kawasan Felda, menjadi deposit tetap Umno sejak sekian lama.

“KAF diwujudkan bagi mengekalkan kekuatan Umno di kawasan Felda, lebih-lebih lagi pengaruh PAS semakin melebar di kawasan Felda sekarang.

“Contoh yang paling jelas pilihan raya kecil parlimen Rompin pada Mei tahun lepas berlaku peningkatan yang ketara undi kepada calon PAS berbanding sebelum ini,” katanya di Chiku 3 malam tadi.

Ceramah tersebut diadakan sempena pelancaran cawangan Generasi di Kelantan. Pelancaran disempurnakan anggota Exco kerajaan negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat Razman Zakaria, Presiden Generasi Ustaz Roslan Md Isa,

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad Datuk Sarchu Sawal dan Pengerusi Generasi Kelantan Azman Ahmad.

Semalam Datuk Seri Najib Razak melancarkan KAF di Kuala Lumpur.

Menurut Perdana Menteri kerajaan mahu Felda menjadi sebuah kuasa besar politik yang akan menjamin kelangsungan Felda.

Ruslan pula berkata sehingga sekarang terdapat 15 NGO yang bergerak di kawasan Felda di mana sebahagian besar hanya bersifat menyokong kerajaan dan Umno. – HARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace