Suarakan pembelaan terhadap penoreh getah

HARAKAHDAILY | .

Sehingga hari ini PAS tidak pernah kering daripada mengartikulasikan pembelaan terhadap nasib penoreh malah ia makin dirancakkan memandangkan para penoreh menghadapi hambatan ekonomi yang terlalu gawat.

Para penoreh yang terdiri daripada 77 peratus bumiputera Melayu kini terus tidak dapat menikmati kelegaan dalam kehidupan rentetan harga getah SMR 20 yang tidak pernah mencecah harga yang melegakan iaitu sekitar RM3.00 hingga RM4.00 sekilo.

Hari ini harga getah SMR 20 selepas ditolak kos perkilangan, cukai SES, dan DRC (peratusan getah ditolak kandungan air) hanya sekitar RM1.80 hingga RM2.40 sahaja.

Dewan Pemuda PAS Kedah juga melihat betapa IPG (Insentif Pengeluaran Getah) hanya bertindak sekadar mengelakkan penoreh pupus sahaja dan bukannya membela mereka sebagaimana kerajaan membela penjawat awam, pekerja swasta, industri lain.

IPG hanya menyediakan insentif sekitar 10 sen hingga 40 sen sekilogram jika harga getah jatuh di bawah RM2.20 (tahun ini).

Namun jika harga mencecah RM2.20 atau sekitar RM 2.40 tiada IPG akan diaktifkan. Seolah-olah kerajaan Malaysia buta dan tidak sedar bahawa harga getah tidak akan mencecah RM3 atau RM4 sekilo. Kehidupan sempurna dalam kalangan penoreh boleh dikatakan tiada sama sekali jika senario ini berterusan.

Pemuda PAS Kedah menyokong penuh gesaan para penoreh agar harga distabilkan kepada RM4.00 sekilogram jika benar kerajaan Malaysia ingin mendahulukan rakyat dan mensejahterakan golongan penoreh yang rata-rata masih berstatus miskin.

Hal ini boleh dilaksanakan jika kerajaan menyumbang tetap RM2 kepada setiap kilogram hasil penoreh dan anggaran hanya RM1.6 bilion dimasukkan dalam belanjawan tahunan demi mensejahterakan rakyat.

Pemuda PAS dengan ini menggesa rakyat agar hadir ke Himpunan Penoreh Getah pada 2 April bertempat di Sik untuk bersama bersolidariti dengan segmen masyarakat tertindas bernama penoreh getah.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ketua Penerangan DPPN Kedah - HARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace