Pemuda PAS Klang perkenal 'survivor series'

SHAHRIL RIZAL SAIDON | .

KLANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang meluaskan lagi inisiatif pembangunan insan khususnya di kalangan remaja dengan memperkenalkan 'Survivor Series'.

Program sebanyak tiga siri itu akan diadakan pada setiap cuti persekolahan dan siri pertama bermula pada cuti sekolah Mac ini.

Menurut Ketua Pemudanya, Ustaz Saiful Rizal Saidon, 'Survivor Series' merupakan kem cuti sekolah, tetapi kelainannya adalah pada modul yang diterapkan pada peserta.

Ujarnya, hanya 70 peserta terpilih akan mengikuti kem ini secara khusus di mana aspek pencapaian tarbiyah yang digariskan akan diberi penekanan utama kelayakan untuk mendapat kedudukan terbaik.

Jelasnya, lanjutan dari kedudukan 5 terbaik akan memenangi tiket penerbangan dan penginapan ke Sabah untuk bersama Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan mempraktikkan teori dan latihan sepanjang kem tersebut.

Terang beliau, kem selama tiga hari pada setiap siri itu memerlukan peserta mengikuti modul di Tanjung Piai yang dahulunya lebih dikenali sebagai 'Fantasy Island'.

"Antaranya peserta dilatih cara mengurus pasukan. Menyiapkan keperluan termasuk menyembelih ayam untuk bekalan makanan.

"Fasilitator terdiri daripada pimpinan PAS Kawasan, Dewan-dewan, juga dibantu NGO. Tujuh pasukan akan bersaing dan dinilai tahap pencapaian tarbiyah dan dakwah mereka," maklumnya.

Menurut Ustaz Saiful, pelbagai pendekatan dalam perspektif dakwah yang luas akan didedah dan diuji ke atas peserta dalam menilai pencapaian dan kelayakan mereka.

Ujarnya, usaha itu selaras dengan pendekatan PAS yang mahu membudayakan politik matang dan sejahtera sebagaimana disegarkan gagasannya oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tambahnya, melalui program ini juga dapat melahirkan kader-kader dakwah yang akan mengadaptasikan moto "PAS Untuk Semua" pada penglibatan dalam parti kelak. – HARAKAHDAILY 15/3/2016

Share on Myspace