Sejarah: Adun protes Menteri Besar tidak walak pada parti

HARAKAHDAILY | .

MENTERI BESAR DIPROTES ADUN KERANA TIDAK WALAK KEPADA PARTI (16 MAC 1975)

PADA hari ini dalam tahun 1975, 20 orang Adun Kelantan telah mengutuskan protes kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda untuk melahirkan keresahan mereka terhadap kepemimpinan Dato' Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan.

Mereka mendakwa Menteri Besar itu tidak memberi walak kepada parti dengan mengutamakan Umno berbanding PAS, tidak mengendahkan keputusan parti, selalu bertindak menyulitkan Adun-adun PAS dan suka membuat janji-janji besar yang sukar dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan.

Atas alasan-alasan ini, 20 Adun PAS tersebut berpandangan bahawa PAS perlu bertindak terhadap Menteri Besar sebelum ia menjadi krisis.

Dato' Mohamed Nasir yang dipilih menjadi Menteri Besar yang baru menggantikan Dato' Ishak Lotfi Omar selepas Pilihan Raya Umum 1974, adalah Menteri Besar yang dilantik atas kehendak Umno, sedangkan PAS Kelantan pada 12 September 1974 telah menamakan Wan Ismail Ibrahim sebagai calon Menteri Besar dan Ustaz Salahuddin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar yang telah pun mendapat perkenan Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan.

Dengan peranan Pengerusi Umno Kelantan, Tengku Razaliegh Hamzah yang mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein supaya menolak calon yang dikemukakan PAS, Dato' Mohamed Nasir dinamakan oleh Tun Abdul Razak sebagai Menteri Besar yang baru.

Perlantikan ini telah menjadi isu dalam PAS Kelantan kerana Dato' Mohamed Nasir bukan sahaja tidak dipilih oleh PAS, tetapi beliau diketahui tidak berminat dengan jawatan tersebut dan pernah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 1972.

Atas sebab-sebab yang disenaraikan, 20 Adun PAS telah mendesak PAS Pusat untuk bertindak menukar Menteri Besar supaya pentadbiran kerajaan menjadi lebih cekap, dan apa yang lebih penting supaya parti dapat menguasai kerajaan, bukannya mengikut telunjuk Umno.

20 Adun tersebut telah mengancam akan membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar itu di Dun jika tiada sebarang tindakan dari PAS.

Bertindak balas terhadap desakan ini, Dato' Mohamed Nasir pada 5 Mei 1975 telah menyerang pimpinan PAS Kelantan dengan beberapa tuduhan seperti penyelewengan balak di sempadan Perak, Kerajaan Kelantan tidak menyokong Pusat dalam pembukaan tanah baru dan berlaku rasuah dalam kerajaan.

Tuduhan-tuduhan ini adalah merujuk kepada Kerajaan Kelantan sebelum beliau yang dipimpin oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi antara 1973 hingga 1974.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan PAS Kelantan dan mereka mendakwa ia berpunca daripada anggapan Dato' Mohamed Nasir bahawa beliau dilantik oleh Umno, bukannya PAS.

Pada 10 Mei 1975, Dewan Pemuda PAS Kelantan telah mendesakkan Menteri Besar itu meletakkan jawatan atas sikap beliau tersebut.

Berlanjutan dari isu-isu inilah, tercetus krisis kepemimpinan dalam Kerajaan Kelantan pada 1976-1977 yang berakhir dengan pemecatan keahlian Dato' Mohamed Nasir pada 10 Oktober 1977, diikuti usul undi tidak percaya  terhadap beliau di Dun Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 16/3/2016

Share on Myspace