Saman trafik: Beri diskaun, bukan naikkan kompaun

HARAKAHDAILY | .

Kelmarin, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan saman trafik yang masih belum dibayar bagi tempoh 2010 hingga 2015 adalah berjumlah RM1.46 bilion membabitkan 14.59 juta daripada 28.42 juta saman yang dikeluarkan.

Beliau juga menegaskan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar kompaun trafik adalah bagi meningkatkan kesedaran penggunan jalan raya.

Sepatutnya, kerajaan dan PDRM memberikan diskaun kepada pesalah trafik khususnya bagi kesalahan kategori kedua dan ketiga; dan mungkin juga patut memberikan pelepasan kepada pesalah trafik kategori keempat yang tidak menyumbang kepada kemalangan dan kesesakan.

Tindakan memberikan diskaun ini adalah amat wajar sekali dalam keadaan peningkatan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini dan juga sangat berkesan untuk menggalakkan pembayaran saman.

Sebagai contoh, DBKL yang memberikan diskaun pada kadar rata sebanyak RM50 dan RM30 kepada pesalah trafik membabitkan kereta dan motor sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016 berjaya mencatat kutipan paling banyak setiap tahun dalam bulan Februari.

Cadangan menaikkan kadar kompaun trafik kononnya untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pengguna terhadap keselamatan jalan raya juga adalah separa masak dan mengabaikan banyak aspek.

Faktanya, jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang Ops Selamat 8/2016 meningkat kepada 19,572 kes berbanding 19,094 kes sepanjang Ops Selamat 8/2015.

Ini menunjukkan kadar saman itu sendiri sebenarnya tidak berjaya pun untuk mengubah sikap pengguna yang bermasalah di jalan raya.

Oleh itu, adalah amat tidak patut sekali kerajaan menambah tekanan kepada rakyat melalui pemaksaan dalam pembayaran saman trafik yang tinggi.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia / Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 16/3/2016

Share on Myspace