Apa kesudahan operasi bauksit?

ANDANSURA RABU | .

HARI ini telah genap dua bulan tempoh moratorium berlalu, selepas rakyat dijanjikan dengan pelbagai perkara sebagai penyelesaian untuk mempastikan tiada lagi pencemaran dan keadaan yang tidak selesa, namun sehingga hari ini, semua itu masih kekal sebagai misteri.
 
Apakah yang bakal dihadapi oleh penduduk selepas tempoh moratorium tamat dalam masa sebulan dari sekarang?
 
Sehingga kini, pihak Kementerian Alam Sekitar mahupun kerajaan negeri masih membisu tentang apa yang bakal mereka laksanakan.
 
Kesungguhan rakyat/penduduk bagi membantu kerajaan dengan mengemukakan pelbagai cadangan dipandang sepi. Tidak ada sebarang maklumat atau perbincangan dengan penduduk (mangsa bauksit) diadakan, sehingga penduduk mengambil inisiatif untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan dengan berjalan kaki dari Kuantan ke Parlimen sejauh 200km.
 
Ini membuktikan isu ini adalah isu rakyat yang perlu dipandang serius oleh kerajaan demi kesejahteraan hidup mereka.
 
Oleh itu, saya mencadangkan tempoh moratorium ini dilanjutkan sehingga semua perkara yang dibangkitkan dipersetujui oleh orang ramai.
 
Sesi penerangan dan dialog perlu diadakan supaya input-input yang baik dapat dikemukakan oleh yang terkesan dengan isu pencemaran bauksit itu.
 
Kaedah melombong, mengangkut dan membersih bauksit perlu ada satu piawaian serta diwujudkan badan pemantau.
 
Laluan lori mengangkut bauksit perlulah diasingkan daripada laluan utama pengguna jalan raya lain.
 
Kaedah mengawal pencemaran dan efluen perlulah juga merujuk kepada Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 termasuk mewajibkan satu kajian impak alam sekitar dibuat.
 
Tempat penyimpanan berpusat (centrelised stockpile) juga masih belum ditentukan. Sekiranya telah ada, perlulah diumumkan lebih awal supaya orang ramai yang akan terkesan dapat faham dan bersedia.
 
Selain itu langkah-langkah pencegahan pencemaran di lokasi penyimpanan juga perlu ada satu piawaian dan pemantauan agar sungai dan laut yang berhampiran tidak akan terjejas.
 
Rakyat masih tertanya-tanya apakah kesudahan dengan operasi bauksit? Malahan sebahagian besar warga Kuantan akan merasa  lega sekiranya operasi bauksit ini dihentikan terus. - HARAKAHDAILY 16/3/2016
 
Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang menrangkap Pengerusi Lajnah Alam.

Share on Myspace