Blok ketiga: Hubungan PAS dengan PKR tidak terjejas

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Hubungan kerjasama PAS dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan terjejas walaupun parti itu telah membentuk kerjasama politik baru dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS masih kekal dengan PKR sebagaimana mandat yang diputuskan di dalam Muktamar PAS.

Katanya, Blok Ketiga ini wujud kerana parti Ikatan mahu bersama PAS atas dasar PAS yang menarik mereka untuk mewujudkan kerjasama politik.

"Saya fikir PKR tidak ada masalah sebab kita masih pembangkang. Blok ketiga adalah blok pembangkang.

"Maksudnya kita masih menentang dasar salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan yang dilakukan kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Bahkan, katanya kerjasama baru ini tidak melanggar mana-mana terma atau syarat dengan PKR dan ianya menjadi perkara biasa bagi sebuah parti politik.

"PKR pun ada buat kerjasama dengan Amanah, DAP dan semualah," tegas beliau.

Katanya, kerjasama politik hari ini satu keputusan yang bijak kerana perjuangan Ikatan dilihat selari dengan perjuangan PAS selama ini.

"Kalau dasar kita hampir sama, duduk bersama, bincang bersama maka bekerjasama adalah lebih baik," katanya.

Walaupun Ikatan tidak ada kekuatan dari segi ahli, beliau percaya parti itu bukan mahu menumpang PAS tetapi ia hanya kerana matlamat yang sama.

"Kita kerjasama bukan dengan mengikat perjanjian kerjasama secara rasmi buat masa ini kita bersama kerana isu. Bagi kita kalau isu boleh diangkat itu lebih baik," katanya. - HARAKAHDAILY 16/3/2016

Share on Myspace