PRN Sarawak: Calon PAS ramai muka baru

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak hampir seluruh muka baru akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangkakan pada bulan April nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali ketika ditemui berkata, calon-calon yang dikenalpasti adalah mereka yang boleh melaksanakan tugas dengan baik.

"Kita tidak menolak hampir seluruh muka baru yang akan bertanding pada PRN nanti.

"Kita telah kenal pasti dan ke semua mereka boleh melaksanakan tugas serta bekerja hingga ke bawah, malah disenangi pengundi," katanya.

Tambah beliau lagi, PAS telah memulakan gerak kerja di peringkat bawah di seluruh kawasan yang dipertandingkan.

"Persiapan semua dah siap termasuk kerja-kerja di peringkat bawah juga telah kita laksanakan.

"Jentera PAS di Sarawak akan menjalankan tugas-tugas mereka di dun-dun tersebut selain dibantu jentera PAS dari semenanjung.

"Setiap negeri ada tugas masing-masing iaitu mereka perlu bertugas, sekarang pun jentera-jentera telah pun berada di Sarawak melaksanakan tugas-tugas mereka," tambah beliau.

Mustafa turut menjelaskan PAS mempunyai potensi di beberapa kawasan apabila sokongan pengundi meningkat jika dibandingkan pilihan raya yang lalu. – HARAKAHDAILY 16/3/2016

Share on Myspace